Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2004-08-09 15:34:35    
Perubahan Baru Masjid Lorong Nandouya di Bandar Beijing

CRI

Di bandar Beijing, ibu negara China, Daerah Chaoyang yang berhampiran Jalan Lingkaran Kedua di bahagian timur dan Daerah Kewangan Pusat Perdagangan (CBD), terdapat banyak bangunan pejabat kerajaan, perusahaan dan pusat membeli-belah yang besar termasuk Wisma Kementerian Luar China.

Saudara barangkali tidak menjangka di Daerah Chaoyang tersebut, terdapat satu Masjid yang bersejarah lebih 300 tahun iaitu Masjid Nandouya.

Lokasi Masjid Nandouya terletak di bahagian barat laut Daerah Chaoyang yang merupakan kawasan yang terdapat banyak rumah lama lagi usang pada masa dahulu, penduduk di sana menyatakan banyak aduan dibuat disebabkan kawasan itu selalu kotor dengan debu dan lumpur.

Bagaimanapun pada masa ini, bahagian barat laut Daerah Chaoyang tersebut telah mengalami perubahan besar. Rumah teres lama dan usang serta lorong yang sempit sudah dibangunkan dengan perumahan yang moden dan jalan raya yang lebar.

Masjid Nandouya mempunyai keistimewaan seni bina klasik China, dan nama masjid itu ditulis dalam bahasa Arab.

Encik Gao Rongxi yang juga dikenali sebagai Encik Ibrahim pernah bertugas sebagai Penerbit Filem di Syarikat Perfileman Beijing. Setelah bersara, beliau dilantik oleh Persatuan Agama Islam Daerah Dongcheng Bandar Beijing sebagai Ketua Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Etnik Masjid Nandouya.

Ketika memperkatakan sejarah masjid itu, Encik Gao Rongxi berkata, "Masjid Nandouya bersejarah lebih 300 tahun, dan pernah diubahsuai sebagai kilang dan sekolah pada masa dahulu. Setelah pelaksanaan dasar pembaharuan dan buka pintu, kerajaan China bersungguh-sungguh melaksanakan dasar etnik dan agama dan membuka semula masjid itu. Pada November 2001, kerajaan Beijing dan syarikat pembinaan memperuntukkan 1.3 juta yuan RMB, dan Persatuan Agama Islam Beijing menyediakan dana sebanyak 600 ribu yuan RMB untuk memperbaiki Masjid Nandouya."

Disebelah kiri masjid Nandouya, terdapat satu restoran Islam yang dikenali sebagai Dashuntang. Seorang pekerja restoran itu memberitahu wartawan CRI bahawa baru-baru ini, mereka mulai berurus niaga kira-kira pukul 4 pagi kerana waktu sembahyang Subuh di bandar Beijing pada musim panas agak awal.

Encik Gao Rongxi sambil menunjukkan kawasan perumahan di sebelah utara Masjid Nandouya, sambil menceritakan satu peristiwa sewaktu perumahan itu dibina kepada wartawan CRI. Beliau berkata, "Sewaktu direka bentuk, perumahan itu berjarak hanya 6 meter dari tembok bahagian utara Masjid Nandouya. Waktu sembahyang Subuh umat Islam agak awal sehingga mengganggu kehidupan penduduk bukan Islam. Untuk mengekalkan perpaduan bangsa, kerajaan Beijing memutuskan memperuntukkan dana membeli tanah untuk membina masjid baru di bahagian timur sejauh 20 meter, dan ke selatan 20 meter dari tapak asal. Dengan demikian, tindakan itu akan mengurangkan persengketaan yang mungkin berlaku di kalangan rakyat yang berbeza fahaman dan agama."

Encik Hong Zhigang yang juga dikenali sebagai Encik Hassan merupakan salah seorang daripada 3 orang Imam Masjid Nandouya. Beliau berkata, "Saya tamat pengajian dari Institut Teologi Islam Bandar Beijing, dan sudah bertugas selama lebih 4 tahun di Masjid Nandouya. Pada masa dahulu, bilik wuduk di sini sempit dan kami harus membakar arang batu sewaktu musim sejuk. Ruang Sembahyang Utama kadang-kadang bocor sewaktu hujan. Pada masa ini, bilik wuduk baru sudah dibina, ia luas dan nyaman. Sekarang kami menggunakan gas asli sebagai bahan bakar pada musim sejuk. Usaha ini sangat baik bagi melindungi alam sekitar."

Setelah Masjid Nandouya baru selesai dibina pada tahun 2001, ramai tetamu asing selalu bersembahyang di sana. Encik Gao Rongxi berkata, "Kami mengalu-alukan umat Islam dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan negara Islam yang lain bersembahyang di Masjid kami, menyaksikan kehidupan penduduk Islam di sini dan melihat-lihat masjid kami."

----AZMI