|
Dalam sejarah China pernah wujud pelbagai agama, agama-agama tersebut diperkenalkan dari luar negeri kecuali Agama Tao yang berasal dari China. Agama Tao merupakan sejenis agama yang berkaitkan erat dengan kebudayaan tradisional China.
Berbeza dengan kebanyakan agama lain yang hanya memuja satu tuhan, Agama Tao memuja beberapa tuhan. Agama Tao berasal daripada pemujaan orang Cina zaman purba terhadap ilmu sihir pada lebih dua ribu tahun yang lalu. Pada zaman Dinasti Shang dan Zhou, sistem tuhan dan setan yang terdiri daripada tuhan di langit, setan di kalangan manusia dan penghormatan kepada bumi telah wujud. Inilah sebabnya Agama Tao memuja pelbagai tuhan.
Selain pemujaan pelbagai tuhan, ilmu sihir panjang umur juga telah memberi pengaruh besar bagi pembentukan Agama Tao. Ilmu sihir yang mengkaji ilmu panjang umur mula-mulanya muncul di China pada zaman Negeri Berperang pada abad ke 5 sebelum Masihi. Pada waktu itu, banyak ahli sihir mengkaji dan mengajar ilmu panjang umur dan membuat ubat panjang umur, ramai orang belajar ilmu tersebut dan turut mengkaji ubat panjang umur dalam jangka masa yang panjang. Mereka percaya bahawa selepas makan ubat panjang umur mereka akan menjadi dewa atau dewi serta-merta dan panjang umur dan tidak akan meninggal dunia.
Penaja Agama Tao Lao Zi hidup pada abad ke 5 sebelum Masihi dan lebih awal daripada Confusius. Fahaman Tao dan Fahaman Confusius sama-sama merupakan fahaman falsafah penting pada masa itu di China yang telah melahirkan pengaruh besar kepada perkembangan masyarakat China dalam masa lebih dua ribu tahun selepas itu. Banyak falsafah penting Lao Zi termasuk fahaman mistik telah dijadikan asas falsafah Agama Tao dan termaktub dalam buku-buku klasik Agama Tao.
Agama Tao beransur-ansur menjadi agama yang agak lengkap dan sempurna pada zaman Dinasti Han Timur pada abad ke 2 Masihi. Sehingga abad ke 10, Agama Tao berkembang dari sejenis agama yang terdiri daripada banyak mazhab menjadi agama yang hanya terdiri daripada dua mazhab besar iaitu Mazhab Quanzhen dan Mazhab Zhengyi. Mazhab Quanzhen telah menerima banyak fahaman Agama Buddha dan mengambil berat atas pemupukan watak dan tabiat baik dengan menjadi biarawan di biara. Manakala Mazhab Zhengyi lebih mementingkan pengusiran setan dengan ilmu sihir dalam upacara tertentu.
Agama Tao memuja pelbagai tuhan. Tuhan yang maha tinggi dalam Agama Tao adalah Yuqing, Taiqing dan Shangqing. Antara ketiga-tiga tuhan tersebut yang maha berkuasa ialah Yuqing, ia merupakan punca segala perkara di dunia dan juga menguasai segala sesuatu di dunia. Selain tuhan yang maha tinggi tersebut, Agama Tao juga memuja pelbagai dewa dan dewi, seperti Dewi Songzi yang menguasai perkara yang berkaitan kelahiran anak, Dewa Sifang yang menjalankan pentadbiran tempatan, Dewa Shouxing yang mengawal umur manusia, Dewa Fuxing yang menentukan kebahagiaan manusia, Dewa Wenchang yang mengurus pujangga dan Dewa Guansheng yang mengarah hulubalang.
Fahaman Agama Tao adalah untuk mengatasi pelbagai kekhuatiran dan kesukaran manusia. Proses dan cara mengatasi pelbagai kekhuatiran dan kesukaran tersebut biasanya menerusi pelbagai upacara yang diadakan oleh biarawan untuk berkomunikasi dengan tuhan, dewa dan setan, dengan pengantaraan biarawan, orang menyampaikan hasratnya kepada tuhan, dewan dan setan manakala biarawan menyampaikan keputusan dan janji tuhan, dewa dan setan kepada manusia.
Ramai pakar berpendapat, Agama Tao merupakan agama yang memperlihatkan paling mendalam tradisi kebudayaan dan sosial masyarakat China dan telah mencerminkan fitrah manusia sehingga ke akar-akarnya berbanding dengan agama-agama lain. Sama dengan agama lain, Agama Tao juga menyediakan satu kesudahan terakhir yang bahagia supaya penganut Agama Tao mengejar kesudahan itu dalam seumur hidupnya. Setelah meninggal dunia, orang yang baik dapat menikmati makanan sedap dan bunga segar di syurga, manakala orang yang jahat akan diseksa selama-lamanya di neraka. Ideal yang tertinggi ialah mengejar panjang umur dan kehidupan yang bahagia.
---Li Jian
|