Bandar Xiamen yang juga dikenali sebagai Zon Ekonomi Khas Xiamen terletak di bahagian tenggara, Provinsi Fujian, bahagian selatan China. Pada masa ini, ia bukan sahaja mempunyai pemandangan alam yang indah, tetapi juga pertumbuhan ekonominya pesat. Setelah mengalami perubahan besar dalam tempoh lebih 20 tahun yang lalu, Zon Ekonomi Khas Xiamen telah mencapai kejayaan yang mengagumkan.
Penduduk Xiamen mengetahui bahawa kejayaan tersebut adalah hasil dari keputusan bijak yang dibuat oleh mendiang Deng Xiaoping.
Encik Zhou Erjun, bekas Datuk Bandar Xiamen yang sudah bersara yang pernah mengiringi mendiang Deng Xiaoping meninjau Xiamen, ketika diwawancara oleh wartawan Agensi Berita China baru-baru ini, mengenang kembali keadaan 20 tahun yang lalu sewaktu mendiang Deng Xiaoping pertama kali mengadakan tinjauan di Xiamen.
Encik Zhou Erjun berkata, pada musim bunga tahun 1984, mendiang Deng Xiaoping membuat keputusan mengadakan tinjauan terhadap 3 zon ekonomi khas di Shenzhen, Zhuhai dan Xiamen. Setelah diberitahu berita tersebut, kami sangat gembira. Zon ekonomi khas ditubuhkan berdasarkan keputusan yang dibuat oleh mendiang Deng Xiaoping, dan kami mengharap-harapkan beliau mengunjungi zon ekonomi khas itu setelah dibangunkan selama beberapa tahun.
Zon Ekonomi Khas Xiamen ditubuhkan pada tahun 1981, dan berkembang dengan pesat dalam tempoh hanya 3 tahun sahaja, zon itu membawa pengaruh yang besar terhadap konsep rakyat pada masa itu di bawah pelaksanaan ekonomi perancangan dan dasar tutup pintu.
Encik Zhou Erjun berkata, pada musim bunga tahun 1984, mendiang Deng Xiaoping pertama kali mengadakan tinjauan ke bahagian selatan. Pada 7 Februari, mendiang Deng Xiaoping menaiki kereta api bertolak dari Provinsi Guangdong ke Xiamen. Pada 8 Februari, beliau ditemani pemimpin kerajaan Provinsi Fujian dan Bandar Xiamen, menaiki kapal peisiaran "Lujiang" untuk menikmati pemandangan.
Encik Zhou Erjun sebagai Ketua Jawatankuasa Pengurusan Zon Ekonomi Khas Xiamen pada masa itu, melaporkan keadaan pembangunan Zon Ekonomi Khas Xiamen kepada mendiang Deng Xiaoping, termasuk keadaan pembangunan dalam tempoh 3 tahun yang lalu, perancangan Zon Ekonomi Khas Xiamen pada masa depan, dan mengemukakan 3 permohonan: pertama, meluaskan Zon Ekonomi Khas Xiamen dari daerah Huli yang hanya seluas 2.5 kilometer persegi ke seluruh pulau Xiamen dan kedua, memudahkan pengurusan Zon Ekonomi Khas Xiamen dan membangunkannya sebagai pelabuhan bebas.
Setelah melaporkan kemajuan kerja kepada mendiang Deng Xiaoping, Encik Zhou Erjun memohon beliau menyediakan inskripsi untuk Zon Ekonomi Khas Xiamen. Mendiang Deng Xiaoping tersenyum-senyum dan bersetuju, menginskripsi kata-kata seperti berikut "Membangunkan Zon Ekonomi Khas Lebih Cepat Lebih Baik". Setelah kembali ke Beijing, mendiang Deng Xiaoping mengadakan rundingan dengan para Anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan menyatakan beliau bersetuju Zon Ekonomi Khas Xiamen diperluas ke seluruh pulau tersebut. Menyentuh permohonan untuk membangunkan pelabuhan bebas, mendiang Deng Xiaoping juga bersetuju memberi peluang kepadanya untuk mengadakan percubaan.
Pada 18 Mac 1984, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China Hu Yaobang ketika ditemui tetamu Jepun mengumumkan bahawa kerajaan pusat China membuat keputusan mengesahkan Zon Ekonomi Khas Xiamen diperluas daripada 2.5 kilometer persegi ke seluruh pulau Xiamen. Pada Mei 1984, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China memutuskan akan terus meningkatkan pelaksanaan dasar buka pintu, menubuhkan 14 buah lagi bandar di pesisir pantai timur China, 13 buah zon pembangunan teknologi dan ekonomi dan 3 delta iaitu delta Sungai Yangtzer, Sungai Mutiara dan Minnan yang dibuka kepada pelabur luar.
----AZMI
|