Menurut laporan AFP, pegawai tentera Indonesia pada 7 September lalu menyatakan, negara Asia Tenggara sedang membincangkan sama ada mengadakan latihan tentera bersama antikeganasan.
Jeneral Ryamizard Ryacudu, Panglima Tentara Darat Indonesia menyatakan, sepuluh anggota ASEAN sedang mengadakan perbincangan untuk mengadakan latihan tentera besar-besaran. Beliau yang sedang menyertai mesyuarat multilateral Panglima-Panglima Tentera Negara Anggota ASEAN menyatakan, ASEAN sudah menyedari bahawa ancaman keganasan semakin sengit, ia telah menjadi ancaman utama masyarakat antarabangsa. Lantaran itu, tentera pelbagai negara harus membuat persiapan, mengadakan latihan tentera dan perkongsian maklumat perisikan. Beliau juga menyatakan, jadual dan butiran latihan tentera itu akan ditentukan dalam mesyuarat kali ini.
Beliau menambah, walaupun situasi kini amat kurang baik, tentera pelbagai negara tidak harus membuat persiapan yang berlebihan. Mereka tidak payah menggunakan "peralatan peperangan" berat ketika menghadapi ancaman pengganas seperti roket dan bom.
Masyarakat antarabangsa sentiasa menumpukan perhatian terhadap kejadian "11 September" A.S., "11 Mac" di Madrid, Sepanyol. Rantau Asia Tenggara juga tidak terkecuali daripada serangan keganasan. Pada Oktober 2002, pengganas telah menyerang sebuah kelab di Bali, Indonesia dan menyebabkan 202 orang terkorban. Pemimpin negara anggota ASEAN khususnya pemimpin tentera telah menumpukan perhatian terhadap kejadian tersebut.
Menurut maklumat perisikan, pengganas yang melancarkan serangan di Indonesia tersebut belajar "teknik" itu dalam kem latihan Jemaah Islamiah di Filipina yang ada hubungan dengan kumpulan Al-Qaeda.
Panglima Tentera Darat Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azumi Mohamed, ketika menjawab soalan media berkata angkatan tentera Asean telah bersetuju supaya telus dan saling memaklumkan antara satu sama lain mengenai maklumat perisikan pengganas di negara masing-masing.
|