Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tanah pertanian semakin banyak digunakan dalam pembangunan ekonomi China. Oleh sebab itu, sebilangan petani tidak memiliki tanah pertanian di sesetengah tempat. Masalah itu menarik perhatian kerajaan. Provinsi Zhejiang di tenggara China menubuhkan sistem jaminan sosial, telah berjaya menyelesaikan masalah kehidupan kaum petani yang tidak memiliki tanah pertanian.
Pada beberapa tahun yang lalu, pembangunan ekonomi Provinsi Zhejiang berkembang dengan cepat. Sebahagian tanah petani digunakan untuk memperluas skop pembangunan bandar dan pembinaan beberapa projek yang penting.
Kampung Meishu berpenduduk beberapa ribu orang sahaja. Bermula tahun 1992, sebahagian tanah pertanian dari kampung itu digunakan pada setiap tahun, untuk memperluas pembangunan kawasan kota kaunti. Kerajaan menggunakan tanah pertanian petani dan membayar ganti rugi kira-kira 80 ribu yuan Renminbi setiap hektar tanah kepada petani. Walaupun kaum petani tersebut mendapat pampasan yang tertentu, tetapi mereka masih bimbang, kehidupan mereka tidak terjamin pada masa akan datang. Encik Qi Zhuanbing penduduk kampung yang berusia 65 tahun bimbang masalah tersebut.
Beliau berkata: "Saya sudah tua, tetapi saya masih bercucuk tanam. Saya khuatir, jika tidak memiliki tanah, kehidupan saya tidak terjamin".
Petani yang tidak memiliki tanah pertanian, ini bermakna taraf kehidupan tidak terjamin, walaupun kerajaan tempatan sekali gus memberi pampasan kepada mereka. Untuk menyelesaikan masalah itu, Biro Tanah dan Sumber Alam Kaunti Shaoxing telah mengadakan kajian terhadap keadaan penggunaan tanah pertanian petani di seluruh kaunti. Keputusan kajian itu menunjukkan, masalah jaminan kehidupan kaum petani tidak terjamin masih serius.
Pegawai Biro itu Encik Shi Baofu berkata: "Berdasarkan kajian, kerajaan mesti menubuhkan sistem jaminan kehidupan yang berkesan kepada kaum petani yang tidak memiliki tanah pertanian dalam jangka panjang. Jika masalah dapat diselesaikan, taraf kehidupan petani akan terjamin".
Melalui kajian selama lebih setahun, kerajaan Provinsi Zhejiang telah menubuhkan sistem jaminan kehidupan sosial kepada petani bermula tahun 2003. Sistem itu sama seperti sistem insurans untuk orang tua, petani hanya membayar wang yang tertentu kepada kerajaan, kerajaan akan memberi pencen kepada mereka dalam masa yang ditetapkan. Pelbagai tempat Provinsi Zhejiang boleh menetapkan jumlah pencen berdasarkan keadaan ekonomi masing-masing, tetapi tidak lebih rendah daripada taraf kehidupan yang terendah bandar dan pekan.
Misalnya, di Kaunti Shaoxin, kaum tani yang berusia 16 tahun ke atas, yang tidak memiliki tanah pertanian, untuk menyertai sistem jaminan kehidupan sosial, mereka mesti sekali gus membayar 7 ribu yuan Renminbi dan kerajaan akan memberi subsidi sebanyak 16 ribu yuan Renminbi. Ketika wanita genap berusia 55 tahun dan lelaki berusia 60 tahun, setiap orang petani boleh mendapat pencen 220 yuan Renminbi pada setiap bulan dari kerajaan sepanjang hayatnya. Setelah sistem itu dilaksanakan, semua penduduk Kampung Meishu Kaunti Shaoxing telah menyertai sistem jaminan kehidupan sosial dan terdapat 400 orang petani mulai mendapat pencen yang diberi oleh kerajaan.
Encik Qi Zuanbing menyatakan, selepas sistem jaminan kehidupan sosial dilaksanakan, beliau tidak bimbang terhadap kehidupannya pada masa akan datang .
Beliau berkata: "Saya dan isteri telah menyertai sistem jaminan kehidupan sosial. Kini kami berdua boleh mendapat pencen 440 yuan Renminbi pada setiap bulan, kami berpuas hati atas sistem tersebut."
Bagaimanapun, bagi kaum tani yang baru dapat mengambil pencen selepas belasan atau beberapa puluh tahun, kini mereka hidup sangat susah. Walaupun mereka ingin mencari pekerjaan yang baik, tetapi kekurangan kemahiran profesional. Kerajaan Kaunti Shaoxing menyediakan peluang kepada kaum tani tersebut untuk mengikuti kursus profesional bagi menguasai kemahiran dan semua yuran latihan dibiaya oleh kerajaan .
Kini, sistem jaminan kehidupan sosial sedang dilaksanakan di pelbagai tempat Provinsi Zhejiang. Pada penghujung tahun 2003, Provinsi Zhejiang telah mengumpulkan modal jaminan kehidupan sosial sebanyak 3 bilion yuan Renminbi dan 3 juta 300 ribu petani yang tidak memiliki tanah pertanian telah menyertai sistem jaminan kehidupan, dan kerajaan telah memberi pencen kepada 100 ribu orang petani.
---- Wang Ling
|