Hotel Antarabangsa Shanghai yang pernah mengekalkan rekod sebagai bangunan tertinggi di bandar Shanghai China selama lebih separuh abad sudah tidak kelihatan jelas antara ribuan bangunan tinggi pada masa ini. Wisma Jinmao Shanghai yang terletak di tebing Sungai Huangpu yang setinggi 420 meter merupakan bangunan yang tertinggi di Bandar Shanghai China pada masa ini.
Hotel Antarabangsa Shanghai setinggi 86 meter dan mempunyai 24 tingkat. Ia dibina pada tahun 1930-an dan sentiasa dikenali sebagai "bangunan yang tertinggi di Shanghai" sebelum tahun 1983.
Seiring dengan perkembangan pesat sosioekonomi di China, pembangunan perbandaran juga berkembang cepat dan banyak bangunan yang lebih tinggi daripada Hotel Antarabangsa Shanghai berturut-turut dibina di Shanghai.
Wisma Jinmao yang setinggi 88 tingkat merupakan bangunan yang tertinggi di Shanghai sekarang. Ia juga dikenali sebagai bangunan yang ketiga tertinggi di dunia selepas Menara Berkembar Petronas Malaysia dan Menara Sears di Chicago, A.S..
Pembangunan perbandaran di Shanghai hanya satu contoh biasa sahaja di seluruh negara China.
Dalam maklumat yang disediakan oleh Kementerian Pembinaan China dinyatakan bahawa pada beberapa tahun kebelakangan ini, China telah meningkatkan keupayaan pembinaan dan telah selesai membina banyak projek perumahan dan kemudahan infrastruktur, antaranya landasan kereta api Beijing—Kowloon, Wisma Jinmao Shanghai, lebuh raya Ekspres Beijing—Shenzhen dan lain-lain.
Dalam aspek pembinaan bangunan tinggi, China telah selesai membina sebanyak 152 buah bangunan yang tingginya lebih 100 meter, dan bangunan yang tinggi lebih daripada 10 tingkat seluas 130 juta meter persegi.
Projek pembinaan bangunan yang besar sebenarnya mencerminkan penggunaan sains dan teknologi tinggi.
Terdapat banyak projek yang pembinaanya besar, teknologinya rumit dan operasinya sukar, tetapi kerana menggunakan banyak teknologi maju, proses pembinaannya bukan sahaja dapat dijamin beroperasi dengan lancar, tetapi juga kualiti pembinaannya mencapai taraf maju dalam arena antarabangsa, dan mencerminkan sepenuhnya kehebatan industri pembinaan China.
Pakar Kementerian Pembinaan China memaklumkan bahawa dalam pelbagai bidang teknologi seperti projek batu keras dan tanah, pemantauan bencana gempa bumi, penggunaan kelengkapan besar dan lain-lain, China telah mencapai atau mendekati taraf maju antarabangsa. Misalnya, Jambatan Lupu Shanghai dibina sebagai jambatan lengkung yang garis tengah kelengkungannya paling panjang iaitu 602 meter dan teknologinya paling rumit di seluruh dunia.
Menara TV Mutiara Timur Shanghai yang setinggi 468 meter menduduki tempat pertama di Asia dan tempat ketiga di dunia. Antenanya seberat 380 tan dan dibina di atas menara yang setinggi 350 meter. Ia mencipta rekod baru tentang kemudahan terbesar dibina di bangunan tinggi.
----AZMI
|