Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, seiring dengan pertumbuhan ekonomi, kebudayaan tradisional China semakin hari semakin mendapat perhatian masyarakat. Wushu yang disebut saripati seni mempertahankan diri China juga semakin popular di kalangan belia.
Sekolah Wushu China terletak di sebuah kampung di sekitar Bandar Laizhou Provinsi Shandong bahagian timur China. Sekolah itu ditubuhkan oleh Encik Li Mingzhi, pakar Wushu yang terkenal di China. Encik Li Mingzhi sejak kecil sudah mulai belajar Wushu dan pernah mendapat bimbingan daripada ramai pakar Wushu yang terkenal. Pada tahun 1992, beliau telah menolak undangan dari luar negara dan pulang ke kampung halamannya untuk menubuhkan sekolah Wushu tersebut.
12 tahun selepas itu, sekolah tersebut yang mulanya sebuah sekolah yang kecil kini sudah menjadi sekolah yang terkenal dan telah melatih 75 orang johan Wushu China dan 32 orang johan Wushu dunia, serta menghantar lebih 3000 orang tenaga profesional Wushu ke sekolah pengajian tinggi dan pasukan profesional. Sekarang, sekolah itu sudah menjadi salah satu daripada 10 sekolah Wushu yang paling hebat di China.
Pada pukul 5 pagi setiap hari, jam gerak berbunyi tepat pada waktunya, satu hari yang sibuk dimulakan. Berdasarkan peraturan sekolah, para pelajar dalam tempoh 10 minit harus selesai memakai baju, mengemaskan katil mereka dan tiba di ke lapangan untuk memulakan latihan pagi setiap hari.
Seramai dua ribu orang pelajar di lapangan itu berlari, bergerak dan berlatih Wushu, walaupun gerakan mereka setiap hari hampir sama, tetapi mereka tetap berlatih bersungguh-sungguh.
Pada pukul 6:10 pagi, setelah selesai latihan, para pelajar itu kelihatan sangat bersemangat dan segar. Setelah sarapan, mereka ke bilik darjah belajar ilmu. Encik Li Mingzhi yang bertugas sebagai Pengetua sekolah itu berkata,
"Pelajar sekolah Wushu harus mementingkan pelajaran ilmu dan budaya, dengan yang demikian, mereka baru boleh memahami Wushu dengan lebih baik dan membentuk bakat yang lebih tinggi, akhirnya boleh menjadi atlet yang hebat."
Imej Sekolah Wushu China itu ialah mengutamakan pelajaran dan latihan Wushu. Mata pelajaran yang diajar di sekolah itu dibahagikan kepada mata pelajaran pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah bawah, sekolah menengah atas dan sekolah menengah profesional. Latihan Wushu juga dibahagikan kepada beberapa kategori. Para pelajar boleh memilih mata pelajaran dan latihan Wushu berdasarkan kelebihan dan kesukaan mereka.
Pada pukul 4 petang, kampus sekolah itu mula meriah, para pelajar dengan panduan guru mula berlatih Wushu dengan bersungguh-sungguh.
Wartawan dimaklumkan, kebanyakan pelajar yang masuk ke sekolah itu disebabkan minat mereka sendiri. Ramai pelajar sebelum masuk sekolah itu sangat suka bergaduh dan sudah pernah belajar sedikit sebanyak Wushu. Yang paling penting ialah mengawal mereka agar jangan bergaduh.
Zhi Yuntao dan Tan Songtao merupakan rakan sekelas sekolah menengah atas di situ, Zhi Yuntao ialah johan Wushu seluruh China pada tahun ini, Tan Songtao ialah johan Provinsi Shandong. Walaupun mereka sekarang ialah kawan karib, tetapi mereka pernah bergaduh semasa baru masuk sekolah itu. Jurulatih mereka Encik Liu Jian berkata,
"Saya masih ingat, mereka pernah bergaduh semasa baru masuk sekolah ini. Tetapi setelah menerima nasihat saya, mereka telah menjadi kawan. Dalam tempoh selama hampir 2 tahun, mereka saling membantu dalam latihan dan sekarang sudah mencapai kejayaan."
Zhi Yuntao dan Tan Songtao berkata, semasa baru masuk sekolah Wushu itu, kami kurang ajar dan suka menyelesaikan masalah melalui cara kekerasan. Tetapi guru kami menasihatkan bahawa Wushu ialah riadah dan seni mempertahankan diri, sebaliknya bukan untuk bergaduh. Kekerasan tidak boleh menyelesaikan masalah.
Zhi Yuntao berkata, beliau sudah belajar 5 tahun di sekolah itu, sekarang saya lebih matang dan juga sudah mengerti bahawa belajar Wushu bukan untuk bergaduh. Beliau berkata,
"Semasa baru masuk sekolah, saya agak pendiam, tetapi sekarang, saya lebih terbuka dan suka terus terang. Wushu menjadikan saya lebih mesra dan bersopan santun dengan rakan-rakan dan guru-guru."
Beliau berkata, mata pelajaran pertama setiap semester ialah moral Wushu. Sekolah kami selain mengajar teknik Wushu, juga sangat mementingkan moral dan keilmuan.
Dai Shuang ialah pelajar yang unggul di Sekolah Wushu China. Tulisannya pernah memenangi hadiah dalam pertandingan kebangsaan dan pernah meraih pingat emas dalam pertandingan Judo kebangsaan. Tetapi sebelum masuk sekolah itu, Dai Shuang sering ponteng sekolah dan kurang ajar. Dia telah dihantar oleh ibu bapanya belajar di Sekolah Wushu China yang pentadbirannya sangat ketat.
Dai Shuang menyatakan, sekolah Wushu selain mengajar mata pelajaran, juga mengajar Wushu. Ini sangat sesuai untuk kanak-kanak yang suka bergerak sepertinya. Beliau berkata,
"Guru sangat mesra dan sudi membantu saya, beliau meletakkan harapan tinggi terhadap saya. Saya juga bercita-cita ingin belajar dengan bersungguh-sungguh."
Sekolah Wushu China semakin hari semakin terkenal, sekarang, Encik Li Mingzhi sedang merancang mempopularkan sekolahnya di arena antarabangsa. Beliau berkata,
"Sehingga tahun 2008, kami akan membangunkan sekolah kami sebagai sekolah Wushu antarabangsa, agar lebih ramai orang asing meminati dan belajar kebudayaan Wushu China yang bersejarah."
Sekarang, Sekolah Wushu China sudah membuka cawangannya di Califonia A.S. dan Paris, pembukaan cawangan sekolah itu di Seoul juga sedang dalam perbincangan. Selain itu, sekolah tersebut juga telah mempelawa pelajar dari belasan negara termasuk A.S., Kanada, Itali, Belanda, Jerman, Israel, Republik Korea, Jepun dan lain-lain belajar di sekolah itu. Berdasarkan statistik, seramai 160 orang pelajar asing pernah datang ke sekolah itu untuk mengadakan pertukaran atau mengikuti latihan Wushu. Sekolah itu juga menghantar rombongan ke Republik Korea, Singapura, A.S., Kanada dan lain-lain.
----Andika
|