Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2004-12-09 20:36:47    
Indonesia Berusaha Dorong Pertumbuhan Ekonomi

Agensi Berita Xinhua China
Setelah Susilo Bambang Yudhoyono dipilih sebagai Presiden Indonesia pada Oktober lepas dan menubuhkan kabinetnya, beliau telah melaksanakan 4 tindakan penting untuk menjana perkembangan ekonomi Indonesia.

Tindakan pertama ialah menarik pelaburan asing untuk meningkatkan pembinaan infrastruktur. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, ekonomi Indonesia mengalami kemerosotan berbanding beberapa negara ASEAN yang lain, kemudahan infrastruktur yang kurang maju merupakan salah satu faktor yang menyekat pertumbuhan ekonominya. Setelah Susilo Bambang Yudhoyono menubuhkan kabinetnya, beliau segera mengemukakan rancangan dengan memperuntukkan sebanyak 72 bilion dolar Amerika untuk pembinaan infrastruktur dalam tempoh 5 tahun akan datang, termasuk pembinaan landasan kereta api, lebuh raya, jambatan, loji janakuasa elektrik, lapangan terbang dan pelabuhan.

Susilo Bambang Yudhoyono dalam sidang antarabangsa mengundang China, Jepun, A.S., Kesatuan Eropah serta negara ASEAN yang lain melabur di Indonesia, sekarang, undangan beliau telah mendapat sambutan daripada pihak China, Jepun dan negara-negara yang lain, beberapa projek besar sudah dimulakan. Di samping itu, Bank Dunia menyatakan sokongan atas rancangan kerajaan Indonesia tersebut. Wakil Bank Dunia di Indonesia setelah menemui Timbalan Presiden Indonesia, Yusuf Kalla menyatakan, Bank Dunia sedang membincangkan rancangan untuk membantu Indonesia membina Infrastruktur, termasuk sekolah, hospital, jambatan, sistem pengairan di desa serta mendorong perkembangan sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

Tindakan kedua ialah mengkaji semula dasar subsidi bahan bakar. Bermula pada tahun 1978, kerajaan Indonesia sentiasa menyediakan subsidi untuk bahan bakar. Dalam belanjawan kerajaan Indonesia tahun 2004, jumlah subsidi bahan bakar mencapai 63000 bilion rupiah(kira-kira 6.8 bilion dolar Amerika). Seiring dengan harga minyak di pasaran antarabangsa terus meningkat, jumlah subsidi tersebut juga akan meningkat. Untuk mencegah pergolakan masyarakat, inflasi dan memelihara kestabilan nilai mata wangnya, kerajaan Indonesia sedang mempertimbangkan mengkaji semula dasar subsidi bahan bakar. Jumlah subsidi bahan bakar sektor industri akan dikurangkan bermula pada Disember ini, subsidi bahan bakar untuk sektor yang lain akan dibatalkan bermula Januari 2005, tetapi subsidi minyak tanah yang diperlukan oleh keluarga miskin akan dikekalkan.

Ketiga ialah meningkatkan daya saing dan mendorong eksport. Pada 10 bulan pertama tahun ini, jumlah eksport Indonesia mencapai 58.5 bilion dolar Amerika, meningkat 15% ke atas berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jumlah eksport minyak dan gas asli meningkat 12.7% berbanding tempoh yang sama tahun lalu, jumlah eksport barangan bukan minyak dan gas asli meningkat 15.7%.. Kerajaan baru Indonesia sudah memutuskan menumpukan perhatian untuk meningkatkan keefisienan pengeluaran dan daya saing produknya, untuk meningkatkan eksport, mengurangkan pengangguran dan mengembangkan ekonomi.

Dan keempat, meneroka potensi sektor pertanian dan industri pembuatan, mendorong pemulihan ekonomi. Pertanian Indonesia mempunyai potensi yang tinggi, tanahnya subur, iklimnya sesuai untuk pertanian. Kerajaan Indonesia merancang secara besar-besaran mengembangkan sektor pertanian, agar jumlah eksport hasil pertanian Indonesia pada tahun 2009 boleh mencapai 9 bilion dolar Amerika, meningkat lebih satu kali ganda berbanding jangkaan tahun 2004.

Menteri Pertanian baru Indonesia baru-baru ini menyatakan, berdasarkan rancangan pembangunan pertanian kerajaan Indonesia, sumbangan sektor pertanian, penternakan dan perikanan boleh meningkat 2.5% KDNK Indonesia setiap tahun. Selain itu, jumlah pendapatan para petani boleh meningkat 3.5% setiap tahun, dan mengurangkan 10% jumlah import bahan makanan.

Pada masa dahulu, industri pembuatan Indonesia meningkat lebih 10% setiap tahun dan menempati lebih kurang 30% pendapatan ekonomi nasional. Tetapi sejak mengalami krisis kewangan pada tahun 1998, disebabkan jumlah pelaburan sudah menurun, industri pembuatan Indonesia telah mengalami kemerosotan, kadar peningkatan tahunannya hanya mencapai lebih kurang 5%. Untuk menjamin kadar peningkatan ekonomi Indonesia mencapai 6% hingga 7%, kerajaan Indonesia merancang menarik pelaburan asing, agar kadar peningkatan tahunan industri pembuatan Indonesia boleh mencapai 8% ke atas dan dinamik semula.

----Andika