Seiring dengan perkembangan ekonomi China, semakin ramai petani dari desa mencari rezeki di bandar. Kebanyakan mereka berkhidmat dalam sektor pekerjaan yang sangat meletihkan dan pendapatan mereka tidak tinggi seperti pelayan restoran, buruh pembinaan, peniaga di pasar dan lain-lain. Tetapi kebanyakan buruh petani belum mendapat layanan kebajikan yang sama dengan penduduk tetap. Mereka tiada insurans perubatan dan kalau anak mereka mahu bersekolah di bandar, mereka mesti membayar yuran sekolah tambahan.
Buruh petani dianggap sebagai "golongan yang lemah" di bandar. Sehubungan itu, kerajaan pelbagai peringkat China semakin menumpukan perhatian terhadap kebajikan para buruh petani. Badan pentadbiran sukan kerajaan juga mementingkan masalah kesihatan mereka. Kini daerah Chaoyang, bandar Beijing telah mengadakan temasya sukan untuk buruh petani.
Pada 14 hingga 16 Disember lalu, temasya sukan yang bertema "Sukan Kampung Halaman Kedua" telah diadakan di daerah Chaoyang, Beijing. Seramai lebih 1000 orang buruh petani telah menyertai temasya sukan itu. Timbalan Ketua Biro Pentadbiran Sukan Daerah Chaoyang Beijing, Encik Wang Baohe berkata, ini pertama kali Chaoyang mengadakan temasya sukan untuk buruh petani. Beliau berkata,
"Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, buruh petani telah memberi sumbangan besar terhadap pembinaan dan pembangunan bandar Beijing. Beijing tidak mungkin berkembang maju tanpa penyertaan mereka. Biro Pentadbiran Sukan Daerah Chaoyang mengadakan temasya sukan kali ini adalah untuk meningkatkan tahap kesihatan mereka agar buruh petani memberi sumbangan yang lebih besar terhadap pembangunan Beijing."
Di bandar Beijing, terdapat lebih sejuta orang buruh petani dan 100 ribu orang antara mereka berkhidmat di daedah Chaoyang yang berkembang paling pesat. Oleh sebab pendapatan mereka kurang tinggi, tiada orang sanggup membelanjakan wang untuk tujuan riadah. Kesihatan buruh petani telah menimbulkan kebimbangan orang awam. Encik Wang Baohe berkata, Biro Pentadbiran Sukan Daerah Chaoyang mengadakan temasya sukan itu adalah untuk memaklumkan buruh petani, kerajaan tidak melupakan mereka.
Beliau berkata, "kami berharap para buruh petani menyedari bahawa pekerjaan tidak boleh menggantikan riadah."
Menyentuh tentang masalah kekurangan wang untuk riadah, Encik Wang Baohe menyatakan, di bandar besar seperti Beijing, Shanghai dan Guangzhou sudah dibina kemudahan riadah yang percuma di tempat awam. Ini bukan sahaja memudahkan penduduk tempatan beriadah, tetapi juga menyediakan peluang kepada buruh petani beriadah. Selain itu, mereka juga boleh bersenam, berlari atau bermain badminton, cara beriadah seperti itu tidak memerlukan biaya yang banyak.
Puan Li Lifen dari provinsi Hebei merupakan seorang pekerja yang berkhidmat di Beijing, beliau telah menyertai pertandingan ping pong dalam temasya sukan kali ini. Beliau berkata,
"Saya sudah bekerja di Beijing selama lebih setengah tahun. Syarikat kami sering mengadakan aktiviti sukan seperti lumba lari, ping pong, "tug of war" dan lain-lain. Aktiviti sukan itu berfaedah untuk kesihatan kami. Saya berlari setiap hari."
Pada masa ini, banyak restoran dan salun di Beijing menguruskan pekerja mereka bersenam pada waktu pagi. Encik Wang Baohe berasa gembira terhadap keadaan itu. Beliau berkata, buruh petani telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan bandar, kerajaan dan masyarakat harus memberi lebih banyak bantuan dan perhatian kepada mereka. Encik Wang berkata,
"Kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat termasuk tahap kesihatan penduduk. Kami mesti menumpukan perhatian terhadap kebajikan buruh petani."
----Wang Jin
|