Jabatan Pentadbiran Am Perlindungan Alam Sekitar Negara China semalam di Beijing mengumumkan akan menghentikan 30 projek pembangunan yang melanggar sistem piawaian alam sekitar, antaranya termasuk projek tenaga elektri, pembangunan jalan raya, pengeluaran kertas dan lain-lain. Naib Menteri Jabatan Pentadbiran Am Perlindungan Alam Sekitar China, Encik Pan Yue menyatakan kerajaan China akan melaksanakan peraturan dan undang-undang dengan bersungguh-sungguh untuk melindungi alam sekitar dan menghalang pembangunan berkelebihan dan tidak teratur.
Seiring ekonomi China yang berkembang pesat pada tahun-tahun kebelakangan ini, sejumlah besar projek pembangunan telah diadakan di pelbagai tempat di China. Naib Menteri Jabatan Pentadbiran Am Perlindungan Alam Sekitar China, Encik Pan Yue berkata, berdasarkan "Undang-undang Penilaian Penjejasan Alam Sekitar Republik Rakyat China", projek pembangunan tidak boleh diadakan jika dokumen penilaian penjejasan alam sekitar mengenai projek itu tidak diluluskan."
Dimaklumkan "Undang-undang Penilaian Penjejasan Alam Sekitar" yang dikuatkuasakan di China bermula September tahun 2003 itu bertujuan untuk menyelaraskan perkembangan ekonomi dengan sumber alam serta keadaan alam sekitar, agar ekonomi kebangsaan dapat berkembang secara sihat dan teratur.
Ketua Pengarah Bahagian Penilaian Alam Sekitar Jabatan Pentadbiran Am Alam Sekitar China, Encik Zhu Xingxiang berkata mereka akan mengenakan denda terhadap projek pembangunan yang diadakan tanpa kelulusan penilaian alam sekitar.
Menurut beliau, projek yang tidak selaras dengan sistem penilaian alam sekitar akan ditutup atau diubahsuai agar ia tidak menjejaskan alam sekitar.
|