Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2005-01-25 11:25:14    
Perbincangan Menteri Pelancongan Asean+3 Bermula di Langkawi

CRI

Menurut laporan BERNAMA, menteri-menteri pelancongan ASEAN hari ini mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan mereka dari negara rakan ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea Selatan (Asean+3) untuk memperbaharui kerjasama serta meningkatkan hubungan dalam bidang pelancongan.

Selain menyemarakkan aktiviti pelancongan di rantau ini, pertemuan mereka pada Forum Pelancongan Asean (ATF) ke-24 juga bertujuan merangka program yang bakal diadakan sepanjang tahun ini.

Menurut aturcara yang diedarkan sekretariat ATF, satu persidangan berita akan diadakan pada akhir mesyuarat tertutup itu petang ini untuk merumuskan hasil perbincangan yang dicapai.

Forum yang bertemakan "Anjakan Paradigma - Memakmurkan Rantau Ini", menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada wakil persatuan pelancongan dan pengembaraan Asean, penjual dan pembeli produk dan perkhidmatan pelancongan yang ditawarkan negara-negara ASEAN serta wartawan dari lebih 50 negara.

Pada 26 Januari, Persidangan Pelancongan ASEAN (ATC) akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi bagi membincangkan pengukuhan dan jalinan ikatan negara-negara ASEAN untuk mencapai kemakmuran yang lebih besar.

Selain itu, pameran Asean Travel Exchange (Travex) yang disertai kira-kira 400 pembeli produk dan perkhidmatan pelancongan terkemuka dunia akan diadakan selama dua hari mulai esok bagi memberi peluang kepada mereka menerokai peluang perniagaan dengan lebih 400 pertubuhan yang terlibat dalam bidang pelancongan di rantau ASEAN.