Mesyuarat ke-4 Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN, China, Jepun dan Republik Korea (ASEAN+3) yang berakhir di Langkawi, Malaysia semalam bersetuju untuk mengambil langkah konkrit bagi menggalakkan orang ramai mengunjungi kawasan yang dilanda tsunami.
Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Leo Michael Toyad berkata, langkah-langkah tersebut termasuk menganjur lawatan penyesuaian dari China, Jepun dan Korea ke kawasan yang ditimpa malapetaka itu.
Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat, Dr Leo menyatakan bahawa menteri-menteri berkenaan menyuarakan keyakinan bahawa mekanisme memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan tiga negara rakan dialog tersebut berjaya meningkatkan bilangan pelancong di Asia Timur.
Dilaporkan lagi, Naib Menteri Jabatan Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan China, Sun Gang semalam menyatakan bahawa China akan bekerjasama erat dengan negara-negara ASEAN untuk menyumbang kepada pemulihan industri pelancongan di rantau Asia Tenggara.
|