Menurut berita Bernama, Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Rabu menyatakan rasa syukur kerana Palestin dan Israel sudah bersepakat untuk berdamai dan menghentikan kesemua kegiatan ketenteraan serta keganasan.
Abdullah berharap persetujuan itu, yang memberikan harapan baru kepada rakyat kedua-dua negara untuk menikmati keamanan, akan kekal selama-lamanya, dan segala janji yang diputuskan kedua-dua pihak dapat dilaksanakan.
Abdullah mengulas pertemuan di Sharm El-Sheikh, Mesir Selasa antara Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Israel Ariel Sharon yang menghasilkan perisytiharan kedua-dua pihak untuk menghentikan semua kegiatan ketenteraan dan keganasan di kedua-dua negara.
Perisytiharan itu dilihat sebagai ikrar penting oleh kedua-dua belah pihak untuk menyambung semula rundingan damai Asia Barat yang terhenti sejak empat tahun lalu.
Abdullah berkata sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Malaysia berharap negara-negara anggota pertubuhan itu akan menyambut baik keputusan yang dicapai pemimpin Palestin dan Israel itu.
Beliau juga berkata keamanan yang wujud nanti akan membuka jalan yang lebih luas dan peluang yang baik untuk Malaysia menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang sama ada kerjasama ekonomi atau bidang lain dengan Palestin.
|