Menurut laporan Bernama, kaum Cina Malaysia merayakan sambutan Tahun Baru mereka pada 9 Februari dalam suasana sederhana tetapi meriah sempena Tahun Ayam yang menjanjikan masa depan yang lebih cerah.
Tahun Baru Cina kali ini dirayakan bersamaan dengan ketibaan awal Muharam dan bermulanya tahun baru Islam pada hari kedua Tahun Baru Cina pada 10 Februari.
Sempena perayaan ini, parti-parti politik tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka seperti amalan setiap tahun. Para pemimpin negara turut meraikan rumah-rumah terbuka itu bersama ribuan rakyat pelbagai kaum.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadiri rumah terbuka MCA yang diadakan di Dewan San Choon, Wisma MCA di Kuala Lumpur.
Tetamu lain yang mengunjungi rumah terbuka itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, para pemimpin parti komponen Barisan Nasional, diplomat asing, pelancong serta rakyat Malaysia daripada pelbagai keturunan dan lapisan masyarakat.
Majlis sambutan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang itu diserikan dengan tarian singa dan naga serta iringan muzik tradisional Cina.
Sementara itu di Pulau Pinang, kira-kira 10,000 menghadiri rumah terbuka bersama dihoskan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan lima anggota exco negeri di Fort Cornwallis di Esplanade.
Antara tetamu mereka ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, isterinya Toh Puan Majimor Shariff, para anggota exco, anggota dewan undangan negeri, anggota parlimen, konsulat asing dan para pemimpin masyarakat.
Di Perak, Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan isteri, Datin Seri Kamariah Mokri mengunjungi rumah terbuka Pengerusi MCA Perak Datuk Ong Ka Chuan.
Di Sarawak, suasana meriah sambutan masih dapat dirasai walaupun dalam cuaca mendung dengan hujan rintik-rintik di beberapa tempat di sekitar Kuching.
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhamad Salahuddin Abang Barieng, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan anggota kabinet kerajaan negeri mengunjungi rumah-rumah terbuka termasuk oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
Di Sabah, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menghadiri rumah terbuka Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Raymond Tan di Dewan Masyarakat Sandakan.
Di Kedah, negeri yang baru dilanda bencana ombak besar tsunami, tiada sambutan besar-besaran diadakan oleh MCA dan Gerakan seperti tahun sebelum ini.
Namun masih terdapat rumah terbuka yang dianjurkan secara peribadi yang dihadiri kaum keluarga dan sahabat handai.
Masyarakat Cina turut kelihatan mengunjungi rumah ibadat seperti di sekitar Alor Star untuk berdoa bagi kesejahteraan hidup di tahun baru.
Di Perlis, parti MCA mengadakan jamuan khas di sebuah hotel yang dihadiri Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.
Di Johor, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Jemilah Ariffin serta exco kerajaan negeri mengunjungi rumah terbuka anjuran Dewan Persekutuan Tionghua Negeri Johor, di Johor Baharu.
Beliau diraikan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Pelancongan Negeri Freddie Long yang juga Naib Pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri di majlis itu.
Di Negeri Sembilan, lebih 5,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka yang julung kali diadakan secara bersama oleh parti MCA dan Gerakan negeri di Dewan Majlis Perbandaran Seremban.
Di Melaka, Yang Dipertua Negeri Tun Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohamed Ali Rustam merupakan antara ribuan orang yang memeriahkan rumah terbuka anjuran MCA Melaka di Sekolah Menengah Pay Fong yang bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.
Di Terengganu, suasana Tahun Ayam disambut dengan sederhana tetapi meriah apabila amalan kunjung mengunjung di kalangan mereka bermula sejak awal pagi lagi.
|