|
Menurut berita BERNAMA, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Rabu berkata Malaysia bersetuju mengambil pekerja dari Pakistan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara.
Persetujuan itu dicapai dalam perbincangan Abdullah dengan Perdana Menteri Pakistan Shaukat Aziz di Islamabad.
Abdullah berkata, dalam perbincangan tersebut, Malaysia dan Pakistan bersetuju meningkatkan pelaburan termasuk dalam sektor kewangan Islam. Kedua-dua pihak juga sepakat untuk mewujudkan kerjasama dalam bidang-bidang baru termasuk Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), serta memperluaskan kerjasama dalam bidang pembinaan, pendidikan dan perubatan.
Abdullah tiba di Islamabad hari Selasa untuk melakukan lawatan rasmi empat hari bagi meningkatkan hubungan dua hala dan perdagangan antara Malaysia dan Pakistan.
|