Pada tahun 2004, Puan Shi Juan membuat satu keputusan penting. Sebelum sekolah dibuka pada musim gugur, beliau telah meletakkan jawatannya di jabatan peguam di Bandar Shenzhen, bahagian selatan China, berpisah sementara dengan suami dan anaknya dan bertolak ke kawasan pergunungan terpencil dan bertugas sebagai seorang guru sukarelawan.
Di Bandar Shenzhen, Puan Shi Juan mempunyai kerja dalam bidang profesion yang baik dan juga mempunyai suami dan anak yang dicintai. Berdasarkan pandangan orang biasa, beliau mempunyai kehidupan yang bahagia. Apa sebabnya beliau menolak kehidupan yang selesa dan bertugas di kawasan desa di Guizhou, bahagian barat China yang sejauh 500 kilometer dari Shezhen. Puan Shi Juan berkata, "Saya ingin membantu para pelajar di sini dan mengubah pandangan mereka melalui pengajaran yang kami lakukan secara sukarela. Mereka tekun belajar semasa saya mengajar. Saya berharap usaha saya dapat menjadikan mereka menyedari betapa pentingnya mempelajari pengetahuan."
Pada masa ini, di China, terdapat semakin ramai orang mempunyai cita-cita seperti Puan Shi Juan. Mereka ingin menyertai usaha kebajikan masyarakat. Pada setiap tahun, kerajaan China dan beberapa badan bukan kerajaan mengatur para sukarelawan berkhidmat di kawasan bahagian barat yang agak mundur ekonominya. Mereka bertugas dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perubatan, pertanian, nasihat undang-undang, pengurusan pentadbiran dan lain-lain. Setakat akhir tahun 2004, sukarelawan yang bertugas di kawasan bahagian barat China berjumlah hampir 20 ribu orang.
Encik Zhang Weisong, suami Puan Shi Juan berkata, "Saya sentiasa menyokong isteri saya melakukan perkara yang beliau suka. Saya berpendapat bertugas sebagai sukarelawan bermakna penting. Mereka boleh mengubah kehidupan para pelajar di kawasan mundur berdasarkan pengetahuan, latar belakang dan perkhidmatan mereka."
Puan Shi Juan bertugas di sebuah sekolah rendah di kawasan pergunungan yang terpencil di Provinsi Guizhou, bahagian barat daya China. Tempat itu terletak lebih 2,000 meter dari paras laut, sekolah itu 5 bilik darjah yang kecil, dibina dengan batu bata dan terdapat seramai 170 orang pelajar.
Puan Shi Juan merupakan graduan universiti dalam bidang undang-undang dan sekarang mengajar subjek bahasa Mandarin tahun 4 di sekolah rendah itu.
"Sekarang kita membaca 3 sajak klasik, saya baca dahulu, dan kamu baca bersama-sama kemudian."
Encik Yang Zhongkuan, penduduk di kampung tersebut berkata, "Beliau datang dari bandar Shenzhen, dan bertugas di kawasan pergunungan ini, tambahan pula beliau wanita dan tidak menghiraukan kehidupan yang sukar di sini, kami amat menghormati beliau."
Tentulah yang paling gembira ialah anak-anak tempatan. Mereka amat suka guru yang datang dari tempat lain. Puan Shi Juan berkata, "Kadang-kadang sewaktu saya mengajar, ada pelajar memberi ubi kentang besar yang sudah dimasak kepada saya, ada yang memberi jeruk dan ada juga yang memetik bunga dan memberikannya saya sebagai hadiah."
----AZMI
|