Menurut berita BERNAMA, gempa bumi pada kekuatan 8.7 skala Richter di perairan barat Sumatera, Indonesia sejurus selepas tengah malam tadi mengakibatkan gegaran di bangunan-bangunan tinggi di pantai barat termasuk di Kuala Lumpur, dan meletakkan negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dalam keadaan berjaga-jaga kemungkinan bencana tsunami 26 Disember berulang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Malaysia telah mengarahkan penduduk di kawasan pantai di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis berpindah ke kawasan selamat.
Manakala, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku di Malaysia.
Jabatan Kaji Cuaca Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa gempa bumi di pantai barat Sumatera pada pukul 12.09 tengah malam itu "berpotensi untuk menghasilkan tsunami yang boleh menyebabkan kemusnahan di lautan atau laut di tempat gempa itu berlaku."
Sehingga pukul 5.30 pagi Selasa, belum ada laporan tsunami berlaku di mana-mana negeri di pantai barat tetapi pihak berkuasa berkata langkah berjaga-jaga akan terus diambil.
Jabatan Seismologi Amerika Syarikat dilaporkan berkata bahawa gempa bumi tersebut berukuran 8.7 pada skala Richter dan kemungkinan Tsunami berlaku adalah seratus peratus.
|