Singapura dan Australia hari Isnin memulakan latihan maritim bersama di Selat Singapura dan Laut China Selatan.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Isnin, acara lima hari itu merupakan yang kesembilan dalam siri latihan peperangan maritim "Singaroo" antara tentera laut dan tentera udara Singapura serta Australia.
"Latihan Singaroo 2005" akan mengetengahkan senario serangan maritim konvensional, pertahanan udara dan peperangan anti-kapal selam.
Sebagai tambahan, keupayaan tentera laut kedua-dua negara dalam mengendalikan ancaman bukan konvensional akan diuji menerusi prosedur pengurusan Pelepasan Bot Kecil Anti-Keganasan.
"Latihan itu mempertingkatkan saling-mengendalikan dan pemahaman dua hala antara kedua-dua cabang angkatan tentera itu serta menekankan hubungan pertahanan yang baik antara Singapura dan Australia," kata kenyataan itu.
|