Penyakit T.B. merupakan penyakit berjangkit yang sudah lama merebak di seluruh dunia dan meragut nyawa ramai pesakit. Sejak tahun 1950-an, perebakan penyakit berjangkit itu berjaya dikawal setelah ubat penyakit T.B. digunakan di seluruh dunia. Akan tetapi, disebabkan banyak faktor, wabak itu dikesan lagi dan menjadi masalah kesihatan awam serius di seluruh dunia.
China merupakan salah sebuah antara 22 buah negara yang memperuntukkan sejumlah besar dana untuk mengatasi masalah penyakit T.B. itu.
Pada masa ini, terdapat 4.5 juta pesakit T.B. di China, angka itu menduduki tempat kedua terbanyak di dunia selepas India. Untuk mencegah perebakan penyakit T.B., menjamin kesihatan penduduk awam, kerajaan meningkatkan peruntukan untuk memberi rawatan secara percuma kepada semua pesakit T.B.. Naib Menteri Kesihatan China encik Wang Longde menyatakan,
"Pada tahun-tahun kebelakangan ini, jabatan kewangan pusat meningkatkan peruntukan untuk mengawal penyakit T.B., daripada 40 juta Yuan RMB kepada 265 juta Yuan. Pembiayaan itu digunakan terutamanya untuk membeli ubat-ubatan bagi memberi rawatan percuma kepada pesakit, meningkatkan pengesanan pesakit baru dan meningkatkan pendidikan kesihatan."
Di samping itu, China juga melaksanakan kerjasama dengan negara lain dan pertubuhan antarabangsa seperti Britain, Jepun dan Bank Dunia untuk mencegah dan merawat pesakit T.B.. Misalnya, China menggunakan wang pinjaman Bank Dunia dan sumbangan kewangan kerajaan Britain, melaksanakan projek kawalan penyakit T.B. di 16 provinsi dan wilayah autonomi etnik minoriti China. Projek itu telah mencapai kejayaan dan dianugerahkan "Hadiah Presiden Bank Dunia" pada tahun 2004.
Encik Wang Longde menyatakan, usaha pencegahan dan rawatan pesakit T.B. di China telah mencapai kejayaan. 91.6% pesakit T.B. yang baru didaftar telah sembuh pada akhir tahun 2004.
|