Atas undangan Yang di-Pertuan Agong Malaysia Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, Presiden Singapura S.R. Nathan tiba di Kuala Lumpur hari Isnin untuk memulakan lawatan rasmi 5 hari ke Malaysia.
Ketibaan Nathan dan delegasinya disambut oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Semasa berucap dalam jamuan negara di Istana Negara, Kuala Lumpur, Presiden Nathan berkata, usaha menjalin hubungan erat antara Singapura dan Malaysia lebih genting kini daripada sebelumnya dalam kedua-dua negara mengorak langkah menyahut cabaran dan memanfaatkan peluang yang dihadapi bersama.
Ketika menemui Presiden Nathan, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia dan Singapura wajar mengambil peluang suasana politik baru yang kini lebih positif bagi meningkatkan hubungan dua hala. Beliau menambah, suasana politik baru ekoran pertukaran pemimpin di kedua-dua negara telah mengorak langkah kepada hubungan dua hala yang lebih kondusif.
Ia adalah lawatan pertama Nathan ke negara ini sejak dilantik sebagai presiden pada 18 Ogos, 1999. Beliau akan melawat Sarawak selama tiga hari mulai Rabu ini.
|