Jumlah perdagangan antara China dengan Vietnam mengekalkan pertumbuhan yang cepat semenjak kedua-dua negara memeterai perjanjian perdagangan dua hala pada tahun 1988. Kini, usaha perdagangan dua hala telah memainkan peranan yang penting dalam mendorong pertukaran di kalangan rakyat di kawasan sempadan China-Vietnam.
Kota Pingxiang yang terletak di Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi China merupakan pintu keluar masuk yang penting antara China dengan Vietnam, usaha perdagangan dua hala telah dijalankan dengan lancar kerana dasar yang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak.
Berdasarkan statistik, jumlah perdagangan luar di kota Pingxiang telah mencatat 2 bilion 132 juta Yuan Renminbi pada tahun lalu, jumlah itu telah meningkat berbanding tahun 2003. Seiring penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN serta penganjuran Ekspo China-ASEAN di Guangxi, usaha perdagangan dua hala telah banyak ditingkatkan, di samping itu pertukaran di kalangan rakyat antara China dengan Vietnam juga menjadi semakin erat. Hal itu boleh dilihat dalam perkembangan masyarakat dan kehidupan penduduk di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Difahamkan, baik mata wang China atau pun mata wang Vietnam boleh digunakan secara luas di kawasan sempadan kedua-dua negara. Pelbagai kedai runcit atau syarikat swasta di kota Pingxiang bersedia menerima mata wang Vietnam ketika berurus niaga. Ini telah memudahkan penduduk Vietnam yang berminat datang ke kota Pingxiang untuk membeli-belah pada hari cuti, kerana mereka tidak perlu lagi menukarkan mata wang negara tersebut untuk membeli barang-barang di kedai-kedai di Pingxiang.
Selain itu, kadar perkahwinan penduduk kedua-dua negara di kawasan sempadan juga semakin banyak pada tahun-tahun kebelakangan ini. Seramai lebih 1300 orang penduduk Pingxiang telah berkahwin dengan warga Vietnam, kebanyakan mereka saling mengenal melalui urusan perdagangan.
Ramai peniaga dan penduduk di kawasan sempadan China-Vietnam menjalankan perniagaan atau bekerja di negara lain pada masa ini. Dimaklumkan, terdapat lebih 500 buah gerai disediakan di zon ekonomi pintu keluar masuk Xinqing di Vietnam, antaranya 300 buah gerai disewa oleh peniaga dari China. Manakala, terdapat ramai wanita dari Vietnam pula menjual barang-barang di pusat perdagangan Puzhai dan Nonghuai. Selain itu, terdapat lebih 400 pelajar lulusan Sekolah Bahasa Asia Tenggara Pingxiang China bekerja di Vietnam.
----Fadil
|