Beberapa hari sebelum pemimpin-pemimpin Asia-Afrika bertemu di Indonesia untuk membincangkan kerjasama antara rantau, peniaga dari kedua-dua benua ini telah pun mula mencari peluang kerjasama dalam bidang pengeluaran dan perkhidmatan. Sidang Kemuncak Asia-Afrika 2005 Jakarta pada hari Isnin dengan mempamerkan barang-barang komersial dan perkhidmatan, daripada kraf tangan sehingga perkhidmatan telekomunikasi.
Kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan merupakan isu utama yang akan dibincangkan ketika para pemimpin Asia-Afrika bertemu di sini pada penghujung minggu ini semasa menyertai sidang kemuncak Asia-Afrika kedua sejak 50 tahun yang lalu. Ketika para pemimpin tersebut mengharapkan kejayaan mencapai perjanjian politik tentang kerjasama antara rantau, peniaga dari dua benua itu juga sentiasa berusaha dengan sedaya upaya untuk mencapai matlamat yang sama.
Addul Mobeen, pengurus syarikat permaidani di Afghanistan merupakan salah seorang antara mereka.
Beliau berkata, "Sebenarnya, dalam pameran perdagangan Asia-Afrika kali ini, setiap negara yang menyertai pameran tersebut akan mempamerkan barang-barang keluaran. Ini sebabnya kami mahu lebih banyak orang mengetahui produk kami. Permaidani merupakan produk utama di Afghanistan."
Akan tetapi, sebagai industri utama bagi negara yang bergunung garang di Asia barat tersebut, industri permaidani buatan Afghanistan yang sangat terkenal di dunia itu telah mengalami pelbagai kesukaran. Perang dalam jangka masa panjang telah merosakkan Afghanistan dan ramai orang telah menjadi pelarian. Industri permaidani yang diusahakan oleh kebanyakan keluarga di negara itu juga telah terjejas teruk.
Ketika memperkatakan hal itu, Abdul berkata, "Tiada kilang asing dan syarikat asing mahu datang dan melabur di Afghanistan. Ini merupakan kerugian besar bagi Afghanistan. Orang ramai tidak berkeyakinan terhadap keamanan di Afghanistan, maka mereka tidak akan melabur atau memulakan perniagaan di sana."
Kini keadaan tersebut mula berubah. Selepas rejim Taliban digulingkan, pembangunan masyarakat telah dimulakan semula. Pasaran permaidani juga menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan memulihkan keyakinan peniaga luar negara terhadap bidang perniagaan tersebut. Encik Abdul berharap agar Sidang Kemuncak Asia-Afrika 2005 mampu menyediakan peluang baru untuk mencari pelaburan dan meneroka pasaran.
Ini juga merupakan harapan yang sama sebuah syarikat perkhidmatan telekomunikasi dari China.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Syarikat Teknologi Telekom Guanri Shenzhen telah menyediakan perkhidmatan telefon tetap dan telefon bimbit di kira-kira 10 buah negara di Asia dan Afrika. Perkhidmatan telekomunikasi syarikat tersebut mendapat sambutan baik di Indonesia, lebih-lebih lagi apabila Syarikat Guanri bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi yang terbesar di indonesia dan menyediakan perkhidmatan telefon kecemasan di Aceh selepas kejadian gempa bumi dan Tsunami pada penghujung tahun lalu. Tom Lin merupakan Ketua wakil Bahagian Perniagaan Antarabangsa Syarikat Guanri.
Beliau berkata,"Selepas kejadian gempa bumi dan Tsunami berlaku di Aceh, infrakstruktur telekomunikasi di sana semuanya rosak. Syarikat telekom tempatan telah meminta bantuan kami. Kami segera menghantar juruteknik ke sana, dan kami berjaya memasang peralatan dan memulihkan perkhidmatan telefon di Aceh dalam jangka masa sehari, dan kesemuanya ini adalah percuma."
Tindakan tersebut telah mendapat sambutan baik daripada rakyat tempatan. Selain Indonesia, syarikat tersebut juga telah menjalankan perniagaan selama 4 tahun di Thailand, dan sekarang sedang memulakan perusahaan di Vietnam dan Korea Utara dengan menyediakan perkhidmatan telekomunikasi yang murah bagi golongan yang berpendapatan rendah. Di samping itu, Syarikat Guanri juga berjaya menjalankan perniagaan di pelbagai negara di Afrika.
Apabila para pemimpin negara dan kerajaan Asia-Afrika bertemu dalam sidang kemuncak, tokoh-tokoh perniagaan dan industri dari Asia dan Afrika berharap perbincangan peringkat tinggi dapat mencapai perjanjian politik untuk meningkatkan kerjasama selatan-selatan. Mereka berpendapat bahawa perjanjian yang serupa itu akan memangkin pembangunan yang sihat bagi kerjasama antara rantau. Menurut pendapat mereka, kerjasama selatan-selatan lebih sama rata, lebih berkualiti dan akan saling menguntungkan.
----Fadil
|