Sidang Kemuncak Asia-Afrika 2005 telah dirasmikan di Jakarta hari ini. Pemimpin dan wakil kerajaan dari 88 negara Asia dan Afrika termasuk Presiden China, Hu Jintao serta pemerhati dari benua yang lain telah menghadiri sidang kali ini. Dalam tempoh dua hari, para peserta akan membincangkan tentang haluan, bidang dan skop usaha memangkin perpaduan dan kerjasama Asia-Afrika dalam situasi baru.
Keluasan benua Asia dan Afrika menduduki setengah keluasan dunia dan jumlah penduduk kedua-dua benua ini menempati 3/4 jumlah penduduk dunia. Pada setengah abad yang lalu, seramai 304 orang wakil dari 29 negara dan kawasan Asia dan Afrika telah mengadakan sidang di Bandung. Sejak itu, negara-negara membangun di Asia dan Afrika sebagai tenaga baru mulai memainkan peranan yang semakin penting di arena antarabangsa. Pada abad baru ini, Asia dan Afrika bersama-sama menghadapi peluang perpaduan, kerjasama dan pembangunan serta cabaran yang sengit. Dengan keadaan itu, pemimpin-pemimpin negara Asia dan Afrika berkumpul di Jakarta untuk membincangkan rancangan kerjasama Asia-Afrika pada zaman baru.
Presiden China, Hu Jintao telah menyampaikan ucapan yang bertajuk "Berkembang Bersama Zaman dan Menjalin Hubungan Rakan Strategik Baru Asia-Afrika" dalam sidang tersebut. Beliau berkata,
"Sidang Asia-Afrika yang diadakan pada 50 tahun lalu telah membuka lembaran baru dalam pergerakan pembebasan bangsa Asia-Afrika. 'Semangat Bandung' iaitu perpaduan, persahabatan dan kerjasama yang dianjurkan dalam sidang tersebut banyak menggalakkan negara-negara membangun berusaha demi mewujudkan kemakmuran negara."
Untuk menjalin hubungan rakan strategik baru Asia-Afrika untuk jangka masa yang panjang, Hu Jintao mengemukakan bahawa negara-negara Asia dan Afrika harus menjadi rakan kerjasama yang saling menghormati dan menyokong dari segi politik, saling menguntungkan dan mewujudkan kemenangan bersama dari segi ekonomi, saling mencontohi dan melengkapi dari segi kebudayaan dan saling percaya dan bekerjasama dari segi keselamatan.
Diketahui umum bahawa pembangunan merupakan pendekatan terbaik untuk memangkin kebahagiaan rakyat dan mendorong kemajuan masyarakat dan juga merupakan jaminan penting untuk memperkukuh kemerdekaan politik dan memelihara kestabilan negara. Lantaran itu, pembangunan merupakan tugas yang paling mendesak bagi negara-negara Asia dan Afrika. Hu Jintao menyatakan, pembangunan Asia dan Afrika berkaitan rapat dengan pembangunan kawasan lain. Beliau mengulangi bahawa,
"China akan dengan teguh mengamalkan dasar pembangunan yang damai. Prinsip dasar luar China adalah memelihara perdamaian dunia dan memangkin pembangunan bersama, meningkatkan persahabatan dan kerjasama dengan negara-negara membangun merupakan asas dasar luar China."
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dalam ucapannya berkata,
"Negara-negara Asia dan Afrika memiliki 'Semangat Bandung' tetapi kekurangan pelan tindakan, prosedur dan timbangan yang teliti. Justeru hubungan rakan strategik Asia-Afrika harus diperlihatkan dalam tiga segi iaitu perpaduan politik, kerjasama ekonomi dan pertukaran kebudayaan."
Sebagai salah satu pihak penganjur, Presiden Afrika Selatan, Thabo Mbeki berkata,
"Asia dan Afrika bersatu padu dan boleh menubuhkan order antarabangsa yang baru. Asia dan Afrika sudah mencapai kemajuan besar dari segi kerjasama selatan-selatan. Penjalinan hubungan rakan strategik baru Asia-Afrika akan meningkatkan kerjasama itu."
Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan dalam ucapannya berkata,
"'Semangat Bandung' ditetapkan berdasarkan Piagam PBB dan Lima Prinsip Hidup Bersama secara Damai, ia membolehkan negara membangun bersuara di arena antarabangsa dan telah mengubah PBB. Kita harus mengobarkan 'Semangat Bandung' dan menjadikan tahun 2005 sebagai titik peralihan yang benar bagi PBB dan negara membangun."
|