Presiden China Hu Jintao selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Afrika 2005 dan aktiviti sambutan ulang tahun ke-50 Sidang Bandung, beliau mengakhiri lawatannya di Indonesia dan bertolak dari Jakarta menuju ke Filipina petang tadi untuk meneruskan lawatan beliau ke 3 negara Asia Tenggara. Lawatan Hu Jintao ke Indonesia telah mencapai kejayaan.
Dalam tempoh lawatan Hu Jintao ke Indonesia, China dan Indonesia telah menjalin hubungan rakan strategi untuk mendorong perdamaian, kestabilan dan kemakmuran. China dan Indonesia adalah jiran baik dan juga adalah negara membangun yang berpengaruh besar di kawasan Asia, mengembangkan kerjasama dan persahabatan kedua-dua negara bersesuaian dengan kepentingan asas kedua-dua negara dan juga berfaedah kepada perkembangan dan perdamaian sedunia. Dalam tempoh lawatan, Hu Jintao dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yodhoyono telah menandatangani pengumuman bersama untuk menjalin hubungan rakan strategi, bersetuju mengembangkan pertukaran dan kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, dan menerima konsep berkecuali, tidak berkonflik dan menjadikan negara lain sebagai sasaran serangan. Sehubungan dengan itu, Hu Jintao mengemukakan beberapa cadangan, iaitu kedua-dua negara perlu meningkatkan kerjasama dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan, keselamatan dan kebudayaan; meningkatkan penyelarasan dan kerjasama di PBB, WTO dan APEC; mendorong perkembangan hubungan China-ASEAN. Cadangan Hu Jintao telah mendapat reaksi positif Presiden Susilo Bambang Yodhoyono. Kedua-dua pihak berpendapat, usaha China dan Indonesia menjalin hubungan rakan strategi itu menandakan hubungan kedua-dua negara telah memasuki peringkat perkembangan yang baru.
Dalam tempoh lawatan kali ini, Hu Jintao juga telah menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Afrika 2005 dan aktiviti sambutan ulang tahun ke-50 Sidang Bandung. Beliau telah menandatangani "Perisytiharan Hubungan Rakan Strategi Baru Asia-Afrika" bersama-sama dengan pemimpin dari lebih 80 negara untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dan persahabatan antara China dengan negara-negara tersebut. "Perpaduan, persahabatan dan kerjasama" yang dikenali sebagai semangat Bandung serta prinsip 10 perkara untuk menguruskan hubungan antarabangsa telah dikemukakan dalam Sidang Kemuncak Asia-Afrika yang diadakan di Bandung pada 1955. Pemimpin dari lebih 80 buah negara Asia dan Afrika telah sekali lagi bertemu di Bandung selepas 50 tahun lalu untuk bersama-sama membincangkan hubungan Asia-Afrika dalam situasi baru.
Hu Jintao telah menyampaikan ucapan dalam sidang kemuncak Asia-Afrika kali ini, menjelaskan cadangan pihak China untuk menubuhkan hubungan rakan strategi baru. Beliau menegaskan, negara-negara Asia-Afrika perlu saling menghormati dan menyokong dalam isu politik, menjalankan kerjasama ekonomi demi kejayaan bersama, saling menimba keunggulan dalam bidang kebudayaan serta mengadakan dialog dan kerjasama dalam bidang keselamatan berdasarkan prisip sama rata dan saling mempercayai. Pemimpin-pemimpin negara Asia dan Afrika bersetuju untuk mengembangkan hubungan rakan baru dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan.
Dalam tempoh sidang kemuncak Asia-Afrika kali ini, Hu Jintao telah menemui Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan, Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi dan pemimpin pelbagai negara lain. Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Junichiro Koizumi, Hu Jintao berharap kedua-dua pihak dapat menggunakan peluang yang baik itu untuk mendorong hubungan China-Jepun berkembang sihat dan stabil. Beliau menegaskan, walaupun hubungan China-Jepun kini menghadapi pelbagai kesukaran, namun pihak China tetap mengekalkan prinsip untuk mengembangkan hubungan persahabatan dan kerjasama dengan Jepun. Junichiro Koizumi berkata, Jepun akan terus mengekalkan prinsip dalam 3 dokumen politik tentang isu Taiwan. Beliau bersetuju cadangan Hu Jintao untuk menyelesaikan perselisihan kedua-dua negara melalui dialog.
|