Presiden China, Hu Jintao telah mengadakan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam selama 2 hari bermula 20 April lalu. Dalam tempoh lawatannya, Hu Jintao mengadakan rundingan dengan Sultan Brunei Darussalam Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Haji Hassanal Bolkiah. Kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat tentang hubungan dua hala serta isu serantau yang menjadi perhatian bersama. Pemimpin kedua-dua negara menyatakan akan berusaha bersama-sama memperkukuh dan mengembangkan hubungan kerjasama dan persahabatan jiran baik yang sedia ada. Hu Jintao menyatakan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Brunei Darussalam mempunyai potensi yang besar kerana ekonomi di kedua-dua negara dapat saling melengkapi. Beliau berharap usahawan kedua-dua negara akan terus mendorong perkembangan kerjasama ekonomi dan perdagangan China- Brunei Darussalam dan meneroka kerjasama dalam bidang baru.
Ketika mengimbau kembali perkembangan hubungan China-Brunei Darussalam selama ini, dapatlah kita melihat bahawa semenjak penjalinan hubungan diplomatik pada 30 September 1991, pertukaran dan kerjasama antara kedua-dua negara menjadi semakin erat dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan pelancongan.
Dalam tempoh belasan tahun yang lalu, hubungan politik China- Brunei Darussalam berkembang stabil. Pemimpin kedua-dua negara mengekalkan lawatan antara satu sama lain dan kerap kali mengadakan pertemuan dalam tempoh sidang antarabangsa. Pengumuman Bersama telah dikeluarkan semasa Sultan Brunei Darussalam, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Haji Hassanal Bolkiah melawat ke China pada tahun 1999. Pengumuman Bersama itu telah memainkan peranan penting untuk mendorong hubungan kedua-dua negara berkembang secara sihat dan stabil.
Dalam bidang ekonomi dan perdagangan pula, China merupakan pasaran utama eksport petroleum. Perdagangan petroleum antara kedua-dua negara dimulakan pada tahun 1980-an, kini jumlah pengeksportan petroleum dari Brunei Darussalam ke China mencatat 20 ribu tong sehari, menempati 10% daripada pengeluaran petroleum Brunei Darussalam sehari.
Di samping itu, ekonomi China dan Brunei Darussalam yang dapat saling melengkapi telah mendorong perdagangan dua hala yang berkembang cepat pada tahun-tahun kebelakangan ini. Pada tahun 2001, jumlah perdagangan kedua-dua negara pertama kali melebihi 100 juta Dolar Amerika dan mencapat 165 juta Dolar Amerika, dan jumlah itu terus meningkat dan mencapai 346 juta Dolar Amerika pada tahun 2003. Barangan tekstil, pakaian, barangan elektronik dan makanan merupakan barangan utama yang dieksport dari China ke Brunei Darussalam.
Semenjak "Perjanjian Saling Menggalakkan dan Melindungi Pelaburan" ditandatangani oleh kerajaan kedua-dua negara pada November 2000, perusahaan kedua-dua negara giat menjalankan pelaburan antara satu sama lain. Pada tahun 2003, Syarikat Huawei China telah menandatangani kontrak projek "Jaringan Internet Generasi Baru" yang bernilai 22 juta Dolar Amerika. Syarikat Beiao Beijing menjadi syarikat pertama dari luar negara yang mengambil bahagian dalam perancangan aktiviti perayaan Hari Kebangsaan Brunei Darussalam.
Di samping itu, kerajaan China dan Brunei Darussalam telah menandatangai "Memorandum Persefahaman Kerjasama Kebudayaan", "Perjanjian Pengangkutan Penerbangan", "Memorandum Persefahaman Kerjasama Kesihatan," serta "Memorandum Persefahaman Cadangan Pelaksanaan Pelancongan Warga China ke Brunei Darussalam dengan Biaya Sendiri". Dokumen-dokumen itu telah mendorong pertukaran dan kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Kini, kerajaan Brunei Darussalam telah menetapkan 34 buah syarikat pelancongan menyediakan perkhidmatan kepada rombongan pelancong China. Syarikat Penerbangan Brunei Darussalam juga telah membuka laluan penerbangan dari Brunei Darussalam ke Shanghai China.
Atas usaha sama kedua-dua pihak, China dan Brunei Darussalam telah mencapai kemajuan besar dalam perkembangan hubungan dua hala. Usaha menubuhkan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN yang telah dijalankan pasti akan mendorong hubungan antara China dengan Brunei Darussalam terus berkembang.
----Fadil
|