Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2005-05-06 13:47:43    
Laksamana Cheng Ho Cipta Keajaiban dalam Sejarah Pelayaran Dunia

Agensi Berita China

Laksamana Cheng Ho yang tujuh kali mengetuai armada belayar ke Asia dan Afrika telah mencipta keajaiban dalam sejarah pelayaran dunia. Pelayaran yang sangat sukar dan rumit serta tanpa pengalaman orang terdahulu tidak mungkin dilakukan hanya dengan melihat bintang dan panduan kompas sahaja. Armada Cheng Ho belayar di lautan yang begitu luas tentu telah menggunakan teknik pengemudian yang sangat moden pada zamannya. Bagaimana teknik pengemudian armada Cheng Ho tersebut? Ahli penyelidik Muzium Provinsi Yunnan, Lin Quan yang telah menjalankan penyelidikan yang mendalam tentang teknik pelayaran Cheng Ho akan menjawab persoalan itu.

Lin Quan juga merangkap pelbagai jawatan termasuk anggota Lembaga Muzium China, Naib Pengarah Institut Pengajian Sumber Sejarah dan Kebudayaan Yunnan, Pengarah Eksekutif Lembaga Sejarah Yunnan dan Pengarah Eksekutif Persatuan Pengkajian Cheng Ho Yunnan.

Beliau menjelaskan bahawa armada Cheng Ho yang meneroka laluan baru pelayaran mesti menggunakan teknik terkini pada zaman itu. Cheng Ho telah mengintegrasikan ilmu falak nautika dan penggunaan peralatan pelayaran seperti kompas dengan baik. Dengan begitu, tahap ketepatan lokasi dalam pelayaran telah banyak ditingkatkan. Selain itu, pelayaran sebanyak tujuh kali itu juga telah mendorong perkembangan teknik pelayaran dan ilmu falak armada Cheng Ho dan telah berjaya menghasilkan teknik yang sangat berkesan untuk menetapkan lokasi di laut.

Juga dijelaskan bahawa Cheng Ho menggunakan sejenis peralatan yang berbentuk papan mengukur ketinggian bintang di atas kapal, tempat beliau berada, kemudian mengira garisan lintang tempat itu untuk memastikan arah pelayaran kapalnya.

Lin Quan memaklumkan bahawa peralatan utama teknik itu ialah papan untuk mengukur ketinggian bintang. Papan itu merupakan sejenis peralatan yang mengukur ketinggian jasad cakerawala dengan garis ufuk. Teori pengukuran peralatan itu adalah sama seperti sekstan pada masa ini. Dengan mendapatkan ketinggian jasad cakerawala, Cheng Ho boleh memastikan lokasinya di laut.

Peralatan itu terdiri daripada 12 papan kayu yang bersegi empat. 12 papan itu disambung oleh sebatang tali di pusat setiap papan.

Berdasarkan penyelidikan Lin Quan, empat peta bintang sebagai lampiran Peta Pelayaran Cheng Ho iaitu Peta Bintang Kuli (nama tempat di India pada masa dahulu) ke Iran, Peta Bintang Sri Lanka ke Sumatera dan dua peta lagi telah memperlihatkan bagaimana armada Cheng Ho memastikan lokasi, arah, laluan dan siri masalah teknik dalam pelayaran lautan tersebut dan telah meninggalkan catatan tentang teknik itu yang paling awal, paling konkrit dan paling lengkap di China.

Lin Quan mengambil contoh bahawa semasa armada Cheng Ho mengharungi Teluk Bangladesh dan Lautan Hindi, perairan laut di sana sangat luas dan tiada tanda di darat boleh diambil sebagai panduan, mereka telah berjaya melakukan pelayaran itu menggunakan kompas, kaedah mengukur garisan lintang dan ilmu falak.

Dalam tujuh kali pelayaran Cheng Ho, armadanya berasaskan teknik mengukur ketinggian bintang, memastikan arah dengan melihat matahari dan bulan terbit dan terbenam dan memastikan jarak dengan ketinggian bintang telah mencapai kesan yang menakjubkan. Teknik pelayaran itu merupakan hasil ciptaan Cheng Ho menggunakan ilmu falak zaman purba China di laut.

----Puspa