Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2005-06-14 16:07:19    
Cheng Ho Pernah Tanam Sayur dan Ternak Haiwan dalam Kapal

Agensi Berita China

Belayar di laut yang luas dan berombak besar selama dua hingga tiga tahun, adakah armada Laksamana Cheng Ho yang terdiri daripada 27 ribu anak kapal boleh makan sayur-sayuran yang segar? Pengerusi Lembaga Zat Makanan China Taiwan, Doktor Zhang Leqi semasa diwawancara oleh wartawan di Fuzhou baru-baru ini berkata, antara makanan armada Cheng Ho, selain buah-buahan, sayur-sayuran, daging dan hasil laut jeruk, mereka juga menanam sayur-sayuran, halia dan menternakkan haiwan dalam kapal.

Doktor Zhang Leqi telah membuat kajian terhadap buku "Ying Ya Sheng Lan" yang ditulis oleh Ma Huan pada awal Dinasti Ming. Beliau mendapati bahawa antara makanan yang dibawa oleh armada Cheng Ho, selain garam, kicap, teh, alkohol dan air minum juga termasuk beras, gandum, kacang dan pelbagai jenis jeruk.

Dalam pelayaran Laksamana Cheng Ho, hasil laut yang segar boleh ditangkap dan diternakkan di dalam kapal dan juga ada anak kapal menanam sayur serta menternak haiwan dalam kapal sebagai sebahagian makanan. Walau bagaimanapun, kebanyakan sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan air minum dibekalkan semasa armada Cheng Ho singgah di pelabuhan.

Zhang Leqi memaklumkan, sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar mengandungi banyak vitamin. Jika seseorang kekurangan vitamin akan mengidap penyakit skurvi. Oleh sebab anak kapal armada Cheng Ho terlalu ramai, Laksamana Cheng Ho telah mengarahkan setiap kapal membawa banyak tong sayur masin untuk menyelesaikan masalah kekurangan sayur-sayuran yang segar. Sayur yang diasinkan itu mengandungi vitamin C dan juga boleh bertahan lama dan tidak menjadi busuk. Oleh sebab itu, setiap kali mereka singgah di pelabuhan, Laksamana Cheng Ho akan menyuruh pegawainya pergi ke pasaran tempatan itu untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai makanan anak kapal. Mereka juga akan mengasinkan sayur yang tidak sempat dimakan menjadi sayur jeruk untuk disimpan dan makan dalam pelayaran.