|
Jabatan Penerangan Dewan Negara China mengeluarkan Kertas Putih yang bertajuk "Autonomi Kawasan Etnik Minoriti China" pada 28 Februari lalu. Demi mempercepat langkah pembangunan di kawasan bahagian barat dan kawasan autonomi etnik minoriti, sejak melaksanakan strategi pembangunan barat pada tahun 2000, kerajaan China telah memperuntukkan 850 bilion Yuan RMB untuk menjayakan 60 projek besar yang baru dilaksanakan di bahagian barat, dan amat mendorong pembangunan sosioekonomi di kawasan tersebut.
Dalam tempoh 5 tahun sejak pelaksanaan strategi pembangunan bahagian barat, China menetapkan 5 wilayah autonomi, 27 kawasan autonomi dan 83 daripada 120 kaunti autonomi dalam lingkungan pembangunan barat. Terdapat 3 negeri autonomi yang lain juga menikmati dasar keutamaan dalam pembangunan bahagian barat.
Dinyatakan dalam kertas putih tersebut bahawa sewaktu menangani pembangunan infrastruktur dan meneroka sumber tenaga di kawasan autonomi etnik minoriti, kerajaan China akan meningkatkan peruntukan dan pinjaman wang dari bank. Jika pihak kerajaan tempatan di kawasan etnik minoriti perlu memperuntukkan dana yang berkaitan, kerajaan pusat akan mempertimbangkan keadaan itu dan mengurangkan atau membatalkan dana tersebut.
Sejak pelaksanaan Rancangan Lima Tahun pertama iaitu dari tahun 1953 hingga 1957, kerajaan China telah menetapkan beberapa projek pembangunan utama di kawasan autonomi etnik minoriti, misalnya Pangkalan Besi dan Besi Waja Baotou di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, Penjanaan Elektrik Kuasa Air di Qingtongxia di Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia, Projek Cari Gali Minyak di Wilayah Autonomi Etnik Uygur Xinjiang, pembinaan lebuh raya dari Provinsi Sichuan ke Wilayah Autonomi Tibet, dari Provinsi Qinghai ke Tibet dan dari Xinjiang ke Tibet serta landasan kereta api utama dari bandar Baotou ke bandar Lanzhou, dari bandar Lanzhou ke bandar Xining, dari bandar Lanzhou ke bandar Urumqi dan lain-lain.
Pada tahun 1990-an, China selesai membina banyak infrastruktur lalu lintas antaranya, landasan kereta api dari bandar Zhongwei, Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia ke bandar Baoji, Provinsi Shaanxi, landasan kereta api Nanjiang di Wilayah Autonomi Xinjiang dan Lapangan Terbang Tacheng.
Sejak tahun 2000, melalui peruntukan beberapa projek utama termasuk "Bekalan gas dari kawasan barat ke bahagian timur", membekalkan tenaga elektrik dari kawasan barat ke bahagian timur" dan landasan kereta api Qinghai-Tibet, China berjaya membantu kawasan autonomi etnik minoriti sepenuhnya menggunakan kelebihan sumber tenaganya untuk mengembangkan ekonomi.
Dinyatakan dalam kertas putih tersebut bahawa China telah merangka cadangan khas untuk mendorong pembangunan infrastruktur dan industri asas di Wilayah Autonomi Tibet. Pada tahun 1984 hingga 1994, kerajaan China memperuntukkan 480 juta Yuan RMB untuk menjayakan 43 projek di Tibet yang dilaksanakan atas bantuan 9 provinsi dan bandar lain. Pada tahun 1994 hingga 2001, kerajaan China memperuntukkan 3.9 bilion Yuan RMB untuk membangunkan 30 projek di Tibet. Kawasan bahagian timur China yang agak maju ekonominya menyumbang 960 juta Yuan RMB membangunkan 32 projek di Tibet.
Dalam tempoh Rancangan Lima Tahun ke-10 iaitu dari tahun 2001 hingga 2005, kerajaan China telah memperuntukkan 31.2 bilion Yuan RMB kepada Tibet untuk membangunkan 117 projek di kawasan tersebut.
Sejak tahun 1999, kerajaan China telah memperuntukkan hampir 100 bilion Yuan RMB untuk membina dan memperbaiki jalan raya sepanjang 225 ribu kilometer di kawasan desa yang mundur.
----AZMI
|