Singapura merupakan negara yang penting dalam ASEAN. Walaupun penjalinan hubungan diplomatik China-Singapura hanya selama 15 tahun, tetapi hubungan kedua-dua negara berkembang pesat, lebih-lebih lagi dalam bidang ekonomi dan perdagangan.
Pada beberapa bulan kebelakangan ini, rombongan dari pelbagai jabatan kerajaan tempatan China masing-masing mengadakan lawatan ke Singapura untuk mencari peluang meningkatkan kerjasama dan hubungan perdagangan dengan Singapura, antaranya termasuk Heilongjiang, provinsi yang terletak di bahagian paling utara di China.
Provinsi Heilongjiang terletak di bahagian timur Laut China. Ia merupakan pangkalan industri yang unggul China, mengeluarkan 1/2 minyak mentah, 1/8 kayu, 1/10 arang batu dan 1/7 bahan makanan untuk seluruh negara. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Heilongjiang dengan Singapura telah berkembang mantap. Demi meningkatkan lagi pertukaran dan kerjasama kedua-dua pihak, Seminar Pelaburan dan Perdagangan tentang Pembangunan Semula Pangkalan Industri Lama Provinsi Heilongjiang, China telah diadakan di Singapura pada 26 Mei lalu.
Dalam seminar tersebut, Naib Gabenor Provinsi Heilongjiang Li Zhanshu telah memaklumkan kelebihan serta peluang perniagaan dan iklim pelaburan di Heilongjiang. Beliau juga menyeru supaya Heilongjiang dan Singapura bekerjasama dengan menggunakan kelebihan masing-masing bagi mencapai keuntungan bersama.
Li Zhanshu berkata, sebagai pusat ekonomi dan perdagangan yang terkenal di dunia, Singapura amat maju dalam pelbagai aspek seperti pengurusan, infrastruktur, sains dan teknologi dan sebagainya. Heilongjiang juga mempunyai kelebihan yang istimewa, iaitu lokasinya yang bersempadan dengan Rusia yang terdapat 25 pintu keluar masuk peringkat negara.
Rombongan pelaburan dan perdagangan Heilongjiang yang terdiri daripada 150 orang ke Singapura kali ini telah memperkenalkan lebih 200 projek dalam bidang industri pengeluaran, industri pertanian ekologi, perubatan, infrastruktur dan pelancongan. Antaranya, projek Koridor Industri Harbin-Daqing-Qiqihar paling menarik perhatian. Menurut Encik Li Zhanshu, dalam tempoh 5 tahun yang akan datang, kerajaan tempatan Heilongjiang akan memperuntukkan kira-kira 10 bilion dolar Amerika untuk membangunkan Koridor Industri Harbin-Daqing-Qiqihar. Pada fasa pertama, 14 taman industri akan dibina dengan keluasannya mencatat 200 kilometer persegi. Kerajaan tempatan Heilongjiang bersedia bekerjasama dengan Singapura dalam pembangunan dan pengurusan taman industri tersebut.
Selepas seminar tersebut, majlis pemeteraian beberapa perjanjian antara perusahaan-perusahaan dari Heilongjiang dan Singapura telah diadakan. Kontrak perjanjian-perjanjian tersebut dianggarkan bernilai kira-kira 750 juta dolar Amerika, dan meliputi 12 projek kerjasama berkaitan rawatan air di bandar, pelupusan sampah sarap, pendidikan bahasa Inggeris bagi kanak-kanak, pengeluaran motosikal dan lain-lain.
Setiausaha Politik Menteri Kanan Singapura Encik Tang Guan Seng bagi pihak Singapura telah menghadiri seminar dan majlis pemeteraian perjanjian tersebut. Beliau berpendapat bahawa seminar tersebut bukan sahaja bermanfaat bagi perusahaan Singapura mengenali Heilongjiang, tetapi juga akan mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan antara Singapura dengan Heilongjiang. Kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Singapura dan Heilongjiang mempunyai prospek yang cerah.
Selain Provinsi Heilongjiang, pelbagai provinsi dan bandar China seperti Provinsi Jiangsu, Liaoning, Bandar Tianjin dan Provinsi Sha'anxi masing-masing telah atau akan melawat Singapura bagi mencari peluang kerjasama ekonomi dan perdagangan. Keadaan tersebut menunjukkan bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan China-Singapura semakin erat. Ketika menyebut hal tersebut, Duta Besar China di Singapura Encik Zhang Yun menyatakan, "Hubungan China-Singapura amat erat. Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China Wu Bangguo telah mengadakan lawatan rasmi ke Singapura. Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong juga akan melawat China tahun ini. China dan Singapura tiada halangan dari segi politik, kedua-dua negara boleh mencapai kemajuan yang lebih besar dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala."
|