PayEasy merupakan laman web perdagangan elektronik yang terbesar yang menyediakan perkhidmatan membeli-belah untuk kaum wanita di Taiwan China. Setelah mengatasi kesukaran dalam tempoh beberapa tahun yang lalu, PayEasy telah mencapai kejayaan besar, keahlian pelanggannya berjumlah lebih sejuta orang dan jumlah perniagaannya dalam suku pertama tahun ini mencatat 190 juta dolar Taiwan baru. PayEasy menerima purata 200 ribu buah pesanan setiap bulan iaitu menerima satu pesanan setiap 12 saat.
Encik Lin Kunzheng, pemilik website PayEasy yang juga Pengurus Besar Syarikat Digital Kangxun Bhd. Kumpulan Taixinjinkong semasa diwawancara oleh wartawan Agensi Berita China pada 20 April lalu berkata, website PayEasy pernah mengalami kesukaran besar semasa baru ditubuhkan pada 5 tahun yang lalu. Pada masa itu, mereka melabur sebanyak 80 juta dolar Taiwan dalam perniagaan tersebut, tetapi hanya dapat menjual satu barang yang bernilai 50 ribu dolar Taiwan. Syarikat tersebut hampir bankrap.
Pada satu setengah tahun kemudiannya, Bank Taixin menjadi pemegang saham PayEasy dan menawarkan keahlian kepada wanita yang menjadi pemegang kad kredit bank tersebut. Maka PayEasy turut berkembang menjadi laman web perdagangan elektronik profesional yang pertama yang menetapkan kaum wanita sebagai kumpulan pelanggan utamanya di Taiwan.
Setelah menempuh pelbagai cabaran selama beberapa tahun, PayEasy mulai mencapai kemajuan. Pada tahun 2002, ia berjaya mengatasi kerugian yang dialaminya semasa baru beroperasi dan mulai mendapat keuntungan. Jumlah perniagaannya mencatat lebih 340 juta dolar Taiwan, dan lebih 720 juta dolar Taiwan pada tahun 2004. Jumlah keahlian pelanggannya melebih sejuta orang manakala jumlah pesanan yang diterimanya mencapai 5.4 juta.
Encik Lin Kunzheng mulai berkhidmat di Bank Taixin pada tahun 1993 dan mempunyai kepakaran dalam bidang kad kredit. Atas kepakarannya, urus niaga kad kredit Bank Taixin berkembang maju menduduki tempat kedua di Taiwan dari tempat terakhir.
Lin Kunzheng menamatkan pengajian di Institut Pengurusan Perusahaan Universiti Kebudayaan China Taiwan dan mulai bertugas di Syarikat Digital Kangxun pada penghujung tahun 2000.
Pada masa itu, laman web perdagangan elektronik membanjiri pasaran Taiwan. Lin Kunzheng segera menyedari peluang perdagangan melalui internet sangat penting dan turut menubuhkan website PaySafe pada tahun 2001. Beliau menumpukan perhatian terhadap kajian dan pembangunan mekanisme perdagangan melalui internet yang terjamin keselamatannya. Selain itu, Lin Kunzheng yakin akan potensi besar dalam pasaran membeli-belah secara elektronik yang mengutamakan kaum wanita. Pada tahun 2002, beliau menukar nama PaySafe kepada PayEasy dan menyediakan perkhidmatan membeli-belah kepada pelanggan wanita yang suka menggunakan komputer.
Setelah mengalami persaingan sengit, pada masa ini, hanya terdapat 3 hingga 4 laman web profesional yang menyediakan perkhidmatan membeli-belah untuk kaum wanita yang jumlah perniagaan bulanannya melebih 2 juta dolar Taiwan. PayEasy memperoleh keuntungan sebanyak lebih 70 juta dolar Taiwan setiap bulan iaitu menduduki tempat teratas di Taiwan.
Sebagai Pengurus Besar PayEasy, Lin Kunzheng berpendapat bahawa perkembangan PayEasy bergantung kepada pengalaman mereka dalam bidang menguasai psikologi wanita yang suka membeli-belah.
Berdasarkan maklumat PayEasy, 70% barangannya yang dijual melalui internet melibatkan produk kesihatan, peralatan komputer, komunikasi, alat elektronik digital, bag dan barangan hiasan.
----AZMI
|