Pada 8 April 2004, kerajaan bandar Pingdu, Provinsi Shandong China telah mengadakan sidang khas untuk meraikan usahawan Republik Korea Kim Dae-hok dianugerahkan "Hadiah Khas Presiden Republik Korea". Kim Dae-hok merupakan satu-satunya daripada kira-kira 200 ribu orang pelabur Republik Korea di luar negara menerima anugerah tersebut. Setelah sidang tersebut berakhir, Encik Kim Dae-hok yang sudah lama tinggal di China memperkatakan kepada wartawan Agensi Berita China kecintaannya terhadap negara ini.
Kim Dae-hok berkhidmat sebagai Pengarah Syarikat Industri Elektronik Samyoung Bhd. Republik Korea. Kerana pengurusan syarikat tersebut memutuskan melabur di China, pada Disember 1994, Kim Dae-hok yang sentiasa suka akan China membawa bersama keluarganya ke bandar Pingdu, Provinsi Shandong di bahagian timur China dan membuka Syarikat Elektronik Samyoung Tsingdao Bhd..
Dalam tempoh selama lebih 10 tahun lalu, Kim Dae-hok berdasarkan semangat "bekerja dengan rajin, harmoni dan jujur" yang ditetapkan oleh syarikat Samyoung, menumpukan perhatian besar terhadap kerjayanya di China, meningkatkan pelaburan 5 kali berturut-turut, berjaya membangunkan Syarikat Elektronik Samyoung Tsingdao Bhd. sebagai perusahaan modal asing yang terbesar di bandar Pingdu dan kilang pengeluar kapasitor elektrolisa aluminium yang terbesar di dunia, dan memperoleh keuntungan.
Kim Dae-hok meminati kebudayaan China. Beliau rajin mempelajari bahasa Mandarin dan berusaha menyesuaikan diri dalam kehidupan masyarakat China. Kim Dae-hok mempercayai kakitangan warga China yang bekerja di syarikatnya dan menyediakan jawatan penting kepada seramai 40 orang pekerja China. Beliau mengambil berat pertukaran kebudayaan China-Republik Korea dan menghantar 35 pekerja yang terbaik mengunjungi ibu pejabat syarikat tersebut di Republik Korea setiap tahun. Kim Dae-hok juga mementingkan kepentingan staf China, dan memperuntukkan 13 juta Yuan RMB membina rumah dan pusat hiburan, membeli kemudahan sukan, menganjurkan pertandingan kaligrafi, lukisan, sukan dan catur untuk stafnya setiap tahun.
Selain itu, Kim Dae-hok menumpukan perhatian terhadap kumpulan kurang upaya dan menyumbang barangan yang bernilai lebih 30 ribu Yuan RMB kepada orang tua yang tinggal di Rumah Kebajikan. Beliau berpendapat bahawa tujuannya adalah untuk mengeratkan persahabatan dengan rakyat China.
Semasa memperkatakan keadaan keluarganya, Kim Dae-hok berkata, "isteri saya mempunyai hubungan yang baik dan erat dengan wanita tempatan, anak saya bersekolah bersama-sama dengan kanak-kanak tempatan, dan saya juga menganggap diri sendiri sebagai salah seorang anggota keluarga besar di China."
Kim Dae-hok giat memperkenalkan China kepada rakan-rakannya di Republik Korea. Pada mulanya, beliau berjaya menggalakkan dua perusahaan Elektronik Samyoung iaitu Elektronik Dongrong dan Mesin Daxian melabur di bandar Pingdu; seterusnya beliau membina "Taman Industri Samyoung" di Zon Pembangunan Ekonomi Pingdu dan menggalakkan belasan perusahaan Republik Korea melabur di taman itu antaranya Elektronik Sanxin, Elektronik Chengmen, Elektronik Canggih Chengchang, Elektronik Zhongying, Mesin Elektrik Chengnan dan lain-lain. Pada masa ini, perusahaan-perusahaan tersebut atas sokongan kerajaan tempatan telah berkembang maju dan memperoleh keuntungan yang semakin besar.
Kim Dae-hok semakin mencintai China. Beliau berkata kepada wartawan Agensi Berita China bahawa beliau akan mengambil peluang sewaktu ibu pejabat Samyoung mengadakan penyusunan semula, berusaha memindahkan semua sistem pengluarannya ke bandar Pingdu. Beliau merancang meningkatkan jumlah pengeluaran kapasitor elektrolisa aluminium ke 13.2 bilion setiap tahun pada tahun 2007 daripada 6 bilion setiap tahun pada masa ini.
----AZMI
|