Pada masa dahulu, rakyat China diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan di jabatan perubatan khas sebelum mereka berkahwin dan prosedur perkahwinan harus diuruskan berdasarkan surat "Pengesahan Pemeriksaan Kesihatan" tersebut. Pada dua tahun yang lalu, peraturan sistem pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan sebelum berkahwin secara paksa itu telah dilonggarkan menjadi pemeriksaan kesihatan secara sukarela. Ini menandakan kemajuan masyarakat dan pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin dilaksanakan dengan menghormati hak asasi manusia.
Cik Zhang bertugas di sebuah perusahaan modal asing di bandar Beijing. Semasa wartawan bertemu dengannya di tempat aktiviti khidmat nasihat bagi wanita dan kanak-kanak menjaga kesihatan yang diadakan bersama oleh beberapa hospital di Beijing baru-baru ini, beliau sedang mengemukakan beberapa pertanyaan kepada pakar tentang isu pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin. Beliau memberitahu wartawan,
"Saya pasti akan melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin kerana pemeriksaan kesihatan merupakan tanggungjawab kedua-dua pasangan bakal pengantin dan bermanfaat bagi kehidupan mereka pada masa depan. Saya berpendapat kami wajib berbuat demikian."
Kerajaan China melaksanakan sistem pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin pada tahun 1980-an, jabatan pemeriksaan khas telah ditubuhkan di pelbagai tempat. Semasa memperkatakan butiran utama pemeriksaan kesihatan itu, pegawai Bahagian Ginekologi dan Perbidanan Hospital Anzhen Beijing, doktor Zhang Jun menyatakan,
"Butiran pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin tidak rumit. Pemeriksaan kesihatan meliputi panduan kehidupan perkahwinan, pemeriksaan terhadap penyakit berjangkit, genetik dan lain-lain."
Doktor akan menyediakan surat "Pengesahan Pemeriksaan Kesihatan" berdasarkan keputusan pemeriksaan itu. Setelah melakukan pemeriksaan, kebanyakan orang tidak dikesan mengalami penyakit serius yang menjejaskan kehidupan perkahwinan mereka pada masa depan, akan tetapi 8%-10% orang dikesan mengalami penyakit dan doktor akan mengemukakan cadangan seperti "menunda tarikh perkahwinan", "tidak sesuai untuk berkahwin" atau "tidak sesuai untuk beranak" dalam surat "Pengesahan Pemeriksaan Kesihatan" itu. Cadangan doktor tersebut akan menjadi rujukan penting bagi pegawai Jabatan Hal Ehwal Awam menetapkan sama ada akan meluluskan prosedur perkahwinan terhadap mereka yang mendaftar untuk berkahwin atau tidak.
Boleh dikatakan, pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin bukan sahaja bersangkut paut dengan kesihatan ibu dan bayi serta kebahagiaan sesuatu keluarga, tetapi juga bersangkut paut dengan kualiti taraf hidup rakyat seluruh negara.
Akan tetapi, setelah sistem pemeriksaan kesihatan dilaksanakan sebelum berkahwin secara paksa itu dipinda menjadi pemeriksaan kesihatan secara sukarela, kadar orang yang melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin telah menurun dengan pesat.
Sehubungan dengan itu, beberapa tindakan sedang dilaksanakan di beberapa tempat di China untuk menggalakkan orang melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin.
Pakar Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China yang bertanggungjawab terhadap kesihatan wanita dan kanak-kanak, Profesor Su Suiqing menyatakan,
"Sebenarnya, usaha pihak kerajaan sahaja tidak mencukupi. Maklumat dan kempen tentang pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin harus ditingkatkan untuk meningkatkan kesedaran penduduk awam agar melakukan pemeriksaan kesihatan secara sukarela."
----Ching
|