Sempena ulang tahun ke-30 penjalinan hubungan diplomatik China-Thailand, Perdana Menteri Thailand, Thaksin Sinawatra telah diwawancara oleh pihak media China. Beliau berkata,
"Pada 30 tahun yang lalu, pemimpin Thailand dan China memutuskan menjalinkan hubungan diplomatik. Pada masa ini khususnya dalam tempoh empat tahun sejak saya menyandang jawatan Perdana Menteri, hubungan Thailand-China berkembang baik."
Thaksin berkata, China merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB pertama yang menjalin hubungan rakan kerjasama strategik dengan Thailand. Beliau akan melawat China sempena ulang tahun ke-30 penjalinan hubungan diplomatik kedua-dua negara dan berharap agar kedua-dua negara ini dapat menjadi rakan strategik yang lebih baik dan menetapkan pelan tindakan konkrit untuk mendorong hubungan persahabatan Thailand-China berkembang maju.
Ketika menyentuh tentang kerjasama serantau Asia, Thaksin berkata, China merupakan jiran dan sahabat baik ASEAN. "Kerjasama dan Dialog Asia" merupakan jambatan yang menghubungi ASEAN dengan China bahkan Asia. Beliau percaya bahawa "Kerjasama dan Dialog Asia" sebagai pertubuhan serantau yang memangkin kerjasama pelbagai negara pasti akan membawa kemakmuran dan perdamaian kepada Asia.
Semasa memperkatakan tentang pengaruh perkembangan ekonomi China terhadap Thailand dan ASEAN, Thaksin berkata, China telah menyediakan pasaran yang meluas kepada Thailand, justeru pembangunan China merupakan peluang tetapi bukan ancaman.
Thaksin telah memandang masa depan kerjasama Thailand-China. Beliau berkata, pembangunan China telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa, Thailand merupakan rakan lama China. Dalam tempoh 30 tahun yang lalu, hubungan persahabatan dan kerjasmaa Thailand-China berkembang baik dan semakin diperkukuh. Beliau berharap agar pertukaran dan kerjasama Thailand-China dalam bidang politik, ekonomi, keselamatan, kebudayaan, sains dan teknologi dapat terus berkembang ke arah hubungan rakan kerjasama strategik menyeluruh pada masa depan.
|