"Forum Ilmiah Antarabangsa Sambutan Ulang Tahun Ke-600 Pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia dan Afrika" telah dirasmikan di bandar Nanjing, ibu kota provinsi Jiangsu China hari ini.
Armada yang diketuai oleh Laksamana Cheng Ho telah mengadakan pelayaran sebanyak 7 kali ke lebih 30 negara di Asia dan Afrik dalam tempoh 28 tahun semenjak 1405 hingga 1433. Pelayaran Laksamana Cheng Ho itu telah memainkan peranan penting untuk mendorong pertukaran kebudayaan antara China dengan negara luar serta meningkatkan persahabatan jiran baik dengan pelbagai negara. Selain itu, beliau juga memberi sumbangan besar kepada perkembangan pelayaran dunia pada masa itu.
11 Julai merupakan sambutan ulang tahun ke-600 pelayaran Laksamana Cheng Ho. "Forum Ilmiah Antarabangsa Sambutan Ulang Tahun Ke-600 Pelayaran Cheng Ho ke Asia dan Afrika" yang dianjurkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan provinsi Jiangsu diadakan hari ini. Seramai lebih 200 pegawai kerajaan dan ahli sarjana dari 11 negara dan kawasan telah menghadiri forum tersebut, antaranya termasuk, konsul Singapura, Malaysia, Filipina, Iran di Shanghai dan Menteri Besar Melaka, Malaysia, Dato' Seri Mohamed Ali bin Mohamed Rustam.
Naib Menteri Komunikasi China, Encik Xu Zuyuan ketika menyampaikan ucapan dalam upacara perasmian itu berkata, "bandar Nanjing, provinsi Jiangsu merupakan tempat pembinaan kapal armada Cheng Ho serta kubur laksamana Cheng Ho ditemui. Manakala Taicang merupakan tempat armada Laksamana Cheng Ho bertolak. Maka, "Forum Ilmiah Antarabangsa Sambutan Ulang Tahun Ke-600 Pelayaran Cheng Ho ke Asia dan Afrika" yang diadakan di bandar Nanjing dan Taicang amat bererti dan mendapat sambutan meriah di kalangan masyarakat. Sarjana dari dalam dan luar negara dengan aktif menyertai forum kali ini, mereka bersama-sama membincangkan pelbagai topik secara meluas.
Forum yang bertema "mewarisi tamadun, pembangunan dunia yang damai" itu merupakan aktiviti penting yang dianjurkan oleh kerajaan pusat China untuk memperingati ulang tahun ke-600 pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia dan Afrika.
Pakar Institut Lautan Akademi Sains China, Zheng Yijun semasa menyampaikan ucapan dalam forum itu berkata, "aktiviti peringatan yang kita mengadakan ini bertujuan untuk mewarisi semangat Laksamana Cheng Ho bersama-sama rakyat di pelbagai negara mewujudkan order antarabangsa yang harmonis dan merealisasikan matlamat bersama umat manusia."
Dimaklumkan, para peserta akan bersama-sama mengunjungi pelbagai tempat tinggalan sejarah yang berkaitan dengan pelayaran Cheng Ho dalam aktiviti selama 3 hari itu.
|