Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2005-07-15 13:55:21    
Siri Ketiga Kuiz Sambutan Ulang Tahun Ke-600 Pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia dan Afrika

CRI

Laksamana Cheng Ho dan Brunei

Sebelum tahun 1430, terjemahan perkataan Brunei dalam bahasa Mandarin ialah Boni, Puoli atau Poluo dalam catatan sejarah. Selepas itu baru dicatat sebagai "Wenlai".

Sebuah makam Raja Brunei telah ditemui di Nanjing, ibu kota Provinsi Jiangsu, timur China pada tahun 1958. Tulisan yang terukir pada batu nisan tersebut mencatat kata "Boni" yang merujuk negara "Brunei" dan nama Almarhum raja asing dalam bahasa Mandarin, iaitu Ma-na-re-jia-na-nai yang bermaksud Maharaja Karna, Raja Brunei berdasarkan hasil penyelidikan para sarjana. Dalam buku Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming), jilid 325, bahagian Sejarah Boni tercatat hubungan persahabatan China dengan Empayar Brunei sekitar abad ke-15.

Makam Maharaja Brunei Karna di Nanjing

Pada tahun 1405, utusan Raja Brunei Maharaja Karna telah disambut dengan meriah di China dan dihadiahkan cenderamata yang berharga, antara lain cap mohor kerajaan, sutera dewangga dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, Baginda Maharaja Karna amat gembira. Tiga tahun kemudian, iaitu pada tahun 1408, baginda sendiri mengetuai rombongan yang terdiri dairpada permaisuri, putera-puterinya, menteri dan hulubalang yang berjumlah lebih 150 orang berkunjung ke China. Mereka mendarat di Provinsi Fujian dan terus menuju ke Nanjing, ibu kota Dinasti Ming pada waktu itu. Di sepanjang perjalanan mereka disambut meriah oleh pembesar-pembesar China tempatan. Pada 20 September 1408, sampailah rombongan Maharaja Karna di Nanjing.

Tetamu kehormat dari Brunei itu dijemput menghadiri upacara sambutan besar-besaran dan jamuan negara di Fengtianmen. Di situlah Maharaja Ming dan Raja Brunei bertukar-tukar cenderamata. Cenderamata yang disampaikan oleh Maharaja Ming antara lain pelana emas, sutera dewangga, tongkat dan kursi kerajaan. Manakala cenderamata daripada Raja Brunei antara lain penyu karah, cula, borneo camphor, barangan kemas dan perak.

Makam Maharaja Brunei Karna di Nanjing

Tidak disangka tiba-tiba Maharaja Karna gering selepas 40 hari berada di Nanjing dalam suasana penuh persahabatan. Mendengar hal itu Maharaja Ming amat gelisah dan segera diarahkannya tabib peribadinya mengubati maharaja Karna. Sayang seribu sayang, usaha itu tidak berjaya menyembuhkan Maharaja Karna.

Pada 19 Oktober 1408, Raja Brunei itu mangkat di Huitungkuan, Nanjing. Waktu itu Maharaja Karna baru berumur 28 dan putera mahkotanya Xi Wang berdasarkan ejaaan bahasa Mandarin baru berumur 4 tahun. Apabila Maharaja Karna mangkat, Raja Ming begitu sedih sehingga tiga hari berturut-turut tidak menguruskan pentadbiran negara. Baginda telah mentitahkan agar diadakan upacara pemakaman rasmi. Ketika upacara pemakaman itu diadakan, para menteri dan hulubalang China di Nanjing juga turut berkabung.

Makam Maharaja Brunei Karna di Nanjing

Pemakaman itu dilakukan di Nanjing menurut wasiat terakhir Almarhum Maharaja Karna dengan maksud untuk menyatakan rasa sayang dan hormat baginda terhadap China.

Berdasarkan catatan sejarah China, sebelum kedatangan Maharaja Karna ke China sudah terjalin hubungan diplomatik yang lama antara China dengan Brunei. Dalam tempoh tahun 1370-1425, Raja China pernah empat kali menghantar utusan ke Brunei, manakala Raja Brunei telah 10 kali menghantar utusannya ke China. Dalam hubungan persahabatan China-Brunei yang bersejarah berabad-abad itu, kunjungan Maharaja Karna ke China merupakan suatu peristiwa yang amat penting. Kerana itu makam Maharaja Karna telah dipelihara dengan baik oleh kota kerajaan Nanjing pada tahun 1982 dan ditetapkan sebagai warisan sejarah negara dan patut dipelihara sebaik-baiknya oleh kerajaan China.

Makam Maharaja Brunei Karna di Nanjing

Apakah Cheng Ho pernah berkunjung ke Brunei dalam tujuh kali pelayarannya ke Asia? Dalam hal ini belum terdapat persefahaman pendapat di kalangan sarjana. Namun bukan mustahil bahawa ada sejumlah anggota rombongan Cheng Ho yang berjaya berkunjung ke Brunei. Dalam Ming Shi bahagian riwayat Cheng Ho tercatat nama "Borneo" sebagai salah satu tempat dilalui oleh armada Cheng Ho. Sehubungan dengan itu, ada sarjana membuat Peta Pelayaran Cheng Ho yang mencatatkan bahawa kapal Cheng Ho pernah melalui bahagian utara Broneo dalam pelayarannya yang pertama hingga keenam. Bahagian utara Borneo merangkumi wilayah Brunei. Tambahan pula, sejak abad ke-15 hingga kini di Brunei tersebar luas legenda tentang kunjungan Cheng Ho ke Brunei.

Soalannya apakah Cheng Ho pernah berkunjung ke Brunei, yang pasti ialah, terjalinnya hubungan baik antara China dengan Brunei pada pertengahan abad ke-15, tidak dinafikan kerana kesan positif hasil kunjungan muhibah rombongan Cheng Ho ke Asia Tenggara khasnya, dan ke Lautan Hindi amnya.

Soalan 1:  Pada tahun berapa makam Raja Brunei ditemui di Nanjing?

Soalan 2:  Pada tahun berapakah Raja Brunei mangkat di Nanjing?