|
Sidang Kemuncak ke-2 Kerjasama Ekonomi Subkawasan Mekong Besar(GMS) diadakan di Kunming China pada 5 Julai lalu. Pemimpin 6 negara GMS telah mengadakan rundingan untuk meningkatkan hubungan rakan kerjasama dan mencapai kemakmuran bersama. Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra ketika diwawancara dalam tempoh sidang tersebut menyatakan, kerjasama ekonomi di Subkawasan Mekong Besar akan memanfaatkan rakyat di pelbagai negara untuk mencapai kemakmuran. Beliau juga berkeyakinan penuh terhadap perkembangan kerjasama Thailand-China pada masa akan datang.
Ketika memperkatakan hubungan kerjasama dan persahabatan Thailand-China, Thaksin Shinawatra berkata, tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 penjalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Rakyat kedua-dua negara kini berusaha untuk mencapai satu matlamat yang sama, iaitu mempercepat pertumbuhan ekonomi. Kedua-dua negara mempunyai syarat yang baik untuk bekerjasama kerana masing-masing mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk saling melengkapi dan meningkatkan kepercayaan antara satu sama lain. Kerajaan Thailand dan China telah menjalankan hubungan rakan kerjasama strategik dalam jangka panjang. Rakyat Thailand juga amat bersahabat dengan rakyat China.
Selain dalam bidang ekonomi, Kerajaan kedua-dua negara juga perlu meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai aspek yang lain, terutamanya kita perlu mengintensifkan kerjasama dan pertukaran dalam bidang kebudayaan. Thaksin Shinawatra menyatakan kerajaan Thailand akan membina Pusat Budaya China di Bangkok, agar rakyat kedua-dua negara dapat meningkatkan persefahaman antara satu sama lain dan mendapat lebih banyak manfaat daripada pertukaran budaya.
Tentang isu penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, Thaksin Shinawatra menyatakan, Thailand-China merupakan anggota yang sama rata dalam usaha penubuhan kawasan perdagangan bebas tersebut. Kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk mempercepat pelaksanaan pelbagai projek kerjasama.
Di samping itu, Perdana Menteri Thaksin Shinawatra juga menilai tinggi tindakan pembatalan tarif terhadap import dan ekesport buah-buahan dan sayur-sayuran yang dijalankan oleh kerajaan kedua-dua negara. Beliau berkata, tindakan ini bertujuan untuk membuka lebih luas pasaran masing-masing dan menyediakan iklim yang baik kepada kerjasama ekonomi dan kelengkapan antara satu sama lain. Tindakan mengurangkan tarif akan merancakkan import-eksport antara Thailand dan China. Perusahaan kedua-dua negara juga akan meningkatkan kerjasama transnasional untuk mengeksport barangan yang bermutu kepada negara lain. Tindakan pembatalan tarif itu juga menyediakan contoh yang baik kepada negara anggota dalam Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN untuk menjalankan kerjasama bersahabat. Thaksin Shinawatra menyatakan kerajaan Thailand akan melaksanakan tindakan yang lebih fleksibel untuk meningkatkan kerjasama Thailand-China yang saling menguntungkan.
Perdana Menteri Thaksin Shinawatra juga amat memperhatikan proses pembinaan jalan raya yang menghubungkan Bangkok dengan Kunming, ibu kota provinsi Yunnan China. Beliau merakamkan terima kasih atas usaha kerajaan China untuk membina jalan raya tersebut. Thaksin Shinawatra berkata, jaringan lalu lintas yang sempurna sangat penting bagi sesebuah negara untuk mengembangkan ekonomi. Kerajaan Thailand akan berusaha sedaya upaya bekerjasama dengan pihak China untuk menjayakan pembinaan jalan raya tersebut. Beliau yakin jalan raya itu akan memanfaatkan rakyat di kedua-dua negara untuk mencapai kemakmuran bersama pada masa akan datang.
|