Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2005-07-20 15:10:24    
Perkenalan tentang Tiga Keistimewaan yang Terkenal di Bandar Weifang China

CRI

Layang-layang, makanan sedap dan permata biru merupakan tiga keistimewaan yang terkenal di Bandar Weifang China.

Bandar Weifang terletak di Provinsi Shandong di timur China. Bandar itu dikenali sebagai tempat pengeluar layang-layang. Apabila tiba di sana, pelawat boleh menyaksikan pelbagai jenis layang-layang yang cantik melayang-layang di udara, dan gerai-gerai yang menjual layang-layang terdapat di kedua-dua tepi jalan, bahkan ibu pejabat Persatuan Layang-Layang Antarabangsa juga terletak di bandar itu. Jika berkunjung ke sana kita dapati, ramai orang suka membeli beberapa layang-layang sebagai cenderamata untuk rakan-rakan dan sanak saudara mereka.

Bermula pada tahun 1984, Pesta Layang-layang Antarabangsa diadakan di Fuyanshan di luar Bandar Weifang pada penghujung bulan April setiap tahun. Pada masa itu, ramai penggemar layang-layang dari pelbagai tempat di dunia akan menyertai pertandingan di Weifang, untuk mempamerkan teknologi pembuatan dan permainan layang-layang mereka. Semasa Pesta layang-layang diadakan, para pelawat boleh menyaksikan pelbagai jenis layang-layang yang besar dan kecil. Yang paling besar seberat 3 ribu kilogram dan panjangnya 1500 meter, yang paling kecil hanya sebesar kotak mancis api.

Di Bandar Weifang, terdapat banyak layang-layang terkenal buatan China dan luar negara menjadi koleksi dan dipamerkan di Muzium Layang-Layang Dunia. Encik Duan Yong yang melawat muzium itu berkata kepada wartawan: "Selepas melawat muzium tersebut, saya dapat mengetahui kebudayaan tradisional bangsa China dan kesenian pembuatan layang-layang. Pembuatan layang-layang memerlukan pelbagai jenis bahan dan menggunakan teknologi tinggi".

Selan itu, kedai yang menjual layang-layang juga dikunjungi ramai pelanggan. Seorang pengurus Kedai Layang-Layang Yuandu Puan Xing Xiangyan berkata kepada wartawan, kedai itu terutamanya menjual layang-layang jenis moden yang tidak mudah rosak dan laris dijual berbanding layang-layang tradisional.

Beliau berkata: "Kedai kami membuat dan menjual pelbagai jenis layang-layang, antaranya banyak jenis moden. Layang-layang dibuat melalui hampir belasan peringkat. Layang- layang bentuk rama-rama sahaja terdapat beberapa puluh jenis, yang paling kecil hanya sebesar kotak mancis api, yang besar dan panjang boleh dibuat atas permintaan pelanggan".

Selain itu, makanan tempatan di Weifang juga sangat istimewa dan pebagai jenis. Antaranya, yang paling terkenal di sana ialah "Chaotianguo" yang disytiharkan oleh Persatuan Masakan China sebagai " Makanan yang terkenal di China". Terdapat banyak restoran "Chaoitianguo" di sana, antaranya, yang paling terkenal ialah Restoran Chaotianguo Hanbang. Cik Xu Chunyan pelayan di restoran itu memaklumkan kepada wartawan bahawa "Chaotianguo" asalnya adalah sejenis makanan kalangan rakyat, yang sudah bersejarah lebih 200 tahun.

Beliau berkata: "Masakan "Chaoitianguo" dibuat dan dijual di restoran. Para pelanggan duduk mengelilingi sebuah hotpot tempat merebus daging, bebola daging, tauhu dan lain-lain. Para pelanggan boleh makan makanan tersebut dengan penkek yang digulung dengan lauk-pauk yang direbus dalam hotpot itu atau dengan sayur-sayuran dan telur ayam, sambil menghirup sup yang direbus menggunakan mangkok".

Selain itu, yang sangat menarik ialah Pasar Raya Permata Changle.

Kaunti Changle merupakan salah sebuah daripada 5 buah kawasan pengeluar permata biru yang terkenal di dunia. Permata di sana mempunyai warna dan bentuk yang istimewa. Ketua Majlis Pengurusan Pasar Raya Permata Changle Encik Zhao Shijun berkata kepada wartawan, pasar raya itu seluas hampir 10 hektar, perusahaan permata utama tempatan dan perusahaan permata pelbagai tempat di China mempunyai kedai di pasar raya itu untuk mempamerkan produk permata mereka. Selain itu, pasar raya itu juga menjual permata dari Thailand, Sri Lanka, Afrika Selatan, India dan Australia. Oleh itu, terdapat ramai pedagang barang kemas dan pelancong China dan luar negara berkunjung ke pasar raya itu atau berurusniaga di sana.

Encik Zhao berkata: "Pasar Raya Permata Changle merupakan pasar raya perdagangan permata yang terbesar di China, Jumlah perniagaan permata di pasar ini pada tahun 2004 mencatat 4 bilion yuan Renminbi. Tempat itu juga merupakan pusat perdagangan kraftangan yang utama di Provinsi Shandong".

Jika berkunjung ke pasar raya itu, pelawat akan mendapati bahawa permata di sana yang cantik dan harganya murah berbanding tempat lain.

---- Wang Ling