Kalangan industri dan perdagangan Thailand telah meningkatkan pelaburan di China seiring pelaksanaan dasar buka pintu secara berterusan di negara China. Bank Bangkok yang merupakan bank perdagangan terbesar di Thailand telah membuka cawangannya di Beijing pada 1 Julai lalu. Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra telah menghadiri upacara perasmian cawangan bank itu. Usaha sektor perbankan Thailand terus meningkat di pasaran kewangan China dengan pembukaan bank itu yang merupakan cawangan Bank Bangkok keempat di Tanah Besar China.
Selain itu, Bank Petani Thailand merupakan bank perdagangan ketiga terbesar di Thailand juga telah menjalankan usaha mereka di China. Bank itu telah membuka cawangannya di bandar Shenzhen dan Hong Kong, serta menubuhkan pejabatnya di Beijing, Shanghai dan Kunming.
Pegawai kanan Bank Petani Thailand mendedahkan mereka merancang bekerjasama dengan bank China menyediakan perkhidmatan pinjaman kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana di China dalam tempoh tiga tahun akan datang. Selain itu, mereka juga akan membuka lebih banyak pejabat di China agar menyediakan lebih banayk perkhidmatan kepada perusahaan kedua-dua negara untuk menjalankan kerjasama pelaburan.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdagangan China bahawa pihak Thailand telah melabur dalam 162 projek yang melibatkan modal sebanyak 790 juta Dolar Amerika di China pada tahun lepas. Setakat akhir tahun lepas, perusahaan Thailand telah melabur dalam 3537 projek yang melibatkan modal sebanyak 7 bilion 120 juta Dolar Amerika. Projek pelaburan itu meliputi pemprosesan, pengeluaran, pembangunan hartanah, pengeluaran motosikal, pelancongan, jualan runcit dan industri perbankan.
Para penganalisis berpendapat bahawa penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN telah menyediakan peluang perdagangan yang banyak kepada perusahaan China untuk melabur di pasaran negara Asia Tenggara. Manakala, Thailand merupakan tempat yang amat sesuai bagi mereka melabur kerana situasi politik dan ekonomi negara itu yang stabil dan pasaran yang besar.
Konsulat jabatan perdagangan Kedutaan China di Thailand, Xuan Guoxing berpendapat bahawa sektor jualan runcit dan sektor kewangan Thailand akan mengintensifkan usaha mereka di China seiring pasaran China yang semakin terbuka kepada luar, di samping itu perusahaan China juga mempunyai prospek yang cerah untuk melabur di Thailand seiring perkembangan ekonomi di China.
----Fadil
|