Kerajaan China dan negara anggota ASEAN telah menjalankan layanan tarif keutamaan secara rasmi terhadap 7000 jenis barangan bermula 20 Julai lalu. Pegawai kerajaan negara anggota ASEAN ketika diwawancara baru-baru ini menyatakan, penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN akan mendorong pertumbuhan ekonomi negara ASEAN dan menyediakan peluang baik kepada kedua-dua belah pihak untuk menjalankan kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia Mah Siew Kiong menyatakan perjanjian tentang Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN bukan sahaja melibatkan perdagangan barangan, tetapi juga meliputi bidang pelaburan dan kerjasama perkhidmatan. Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan kawasan perdagangan bebas paling besar di dunia yang ditubuhkan oleh negara-negara membangun, ia akan menyediakan peluang perdagangan yang banyak kepada peniaga Malaysia. Di samping itu, pengeksportan barangan China ke pasaran Malaysia juga akan memberi manfaat kepada para pengguna.
Menteri Industri dan Sumber Barangan Peringkat Awal Brunei, Pehin Dato Abdul Rahman berpendapat, usaha penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN telah mencerminkan hasrat negara-negara ASEAN ingin meningkatkan hubungan kerjasama dan persahabatan yang sedia ada dengan China, dan mendorong pembangunan bersama. Beliau menyatakan, kerjasama ekonomi dan perdagangan China-Brunei mempunyai prospek yang cerah, kerana ekonomi kedua-dua negara dapat saling melengkapi. China mempunyai kelebihan dalam bidang sumber tenaga manusia, pasaran dan teknologi, manakala Brunei kaya dengan sumber minyak dan gas asli. Beliau berkata, kerajaan Brunei telah melaksanakan strategi perkembangan kepelbagaian ekonomi dan mendorong industri bukan petroleum. Kerjasama pelancongan antara kedua-dua negara berkembang baik pada tahun-tahun kebelakangan ini. Beliau berharap kerajaan kedua-dua negara dapat meningkatkan lagi kerjasama dalam bidang perkhidmatan.
China merupakan rakan dagang yang keempat terbesar bagi Singapura. Di samping itu, Singapura menjalankan pelaburan dan perdagangan yang paling banyak dengan China antara negara-negara ASEAN. Jurucakap Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura baru-baru ini menyatakan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN merupakan kerjasama yang boleh membawa kejayaan bersama kepada pelbagai pihak dan akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi Singapura-China.
Menteri Perdagangan Thailand, Tanong Pitaya menyatakan, walaupun terdapat jurang perbezaan yang agak besar dalam perkembangan ekonomi antara negara-negara ASEAN, namun pelbagai negara tetap boleh mendapat manfaat melalui perdagangan bebas dengan negara China yang mempunyai pasaran amat luas. Beliau berpendapat bahawa sektor pertanian dan sektor pemprosesan makanan Thailand akan mendapat manfaat lebih awal dengan pelaksanaan perdagangan bebas China-ASEAN. Dijangka China akan menjadi negara pengimport yang terbesar bagi Thailand dalam tempoh 10 tahun akan datang menggantikan Jepun.
Pegawai kanan Kementerian Perdagangan Vietnam berpendapat, China-ASEAN merupakan komuniti ekonomi yang amat dinamik di dunia. Kedua-dua pihak mempunyai kelebihan yang dapat saling melengkapi dalam bidang pertanian, kejuruteraan, elektronik, telekomunikasi, industri kimia, perlombongan dan tekstil. China telah menjadi rakan dagang utama bagi Vietnam pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Pegawai Kanan Kementerian Perdagangan dan Industri Filipina ketika diwawancara baru-baru ini menyatakan, kerajaan Filipina berharap pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN akan membuka peluang baru kepada kedua-dua negara untuk mengembangkan hubungan ekonomi dan perdagangan dan bersedia menghadapi cabaran baru kerjasama ekonomi China-ASEAN.
|