Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2005-08-12 14:55:27    
Siri Keempat Kuiz Sambutan Ulang Tahun Ke-600 Pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia dan Afrika

CRI
Sumbangan Cheng Ho dalam Bidang Pelayaran Antarabangsa dan Perniagaan

Tujuh kali pelayaran Cheng Ho ke Asia dan Afrika pada awal abad ke-15 merupakan satu lembaran gemilang dalam sejarah dunia. Cheng Ho lebih awal memulakan pelayarannya daripada beberapa ahli pelayaran Eropah seperti Christopher Colombus, Vasco da Gama dan Ferdinand Magellan. Setakat ini data-data seperti peta pelayaran yang dibuat oleh Cheng Ho sangat berguna untuk pelayaran ke negara-negara Asia dan Afrika.

Peta pelayaran itu 20 halaman dan mengandungi gambar-gambar laluan pelayaran Cheng Ho yang bertolak dari Nanjing ke pelbagai kawasan, pulau dan kota di negara-negara Asia dan Afrika. Nama nama tempat yang tercatat berjumlah lebih 500. Laluan pelayaran Cheng Ho yang dicatatkan dalam peta tersebut merangkumi Laut China Selatan, Selat Melaka, Lautan Hindi sehingga ke pantai sebelah timur benua Afrika. Daripada peta itu terdapat pula petunjuk penggunaan kompas dan kedudukan bintang-bintang. Semua itu mencerminkan kemajuan pelayaran China pada zaman Dinasti Ming.

Pelayaran Cheng Ho telah banyak memperkaya pengetahuan manusia tentang kawasan-kawasan di sekitar Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Daripada Peta Pelayaran Cheng Ho dapat dilihat bahawa tempat-tempat yang dikunjungi oleh armada Cheng Ho semua diberi nama. Daripada 500 nama tempat itu terdapat nama tempat di luar China yang berjumlah tidak kurang daripada 300. Nama-nama tempat itu kebanyakannya menunjukkan tempat-tempat di sepanjang pantai Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Indonesia, benua India dan Arab.

Peta tersebut bukan sahaja merupakan peta dunia yang paling terperinci tentang Asia dan Afrika di China pada abad ke-15, tetapi juga peta pelayaran ke Asia dan Afrika yang paling awal terdapat di China. Sebagaimana diketahui Dao Yi Zhi Lue (Catatan tentang Pulau-pulau di Luar Negeri) yang ditulis oleh Wang Dayuan pada tahun 1349 itu telah menyimpulkan pengetahuan orang China tentang negara-negara seberang laut sejak Dinasti Tang (608-907) dan Dinasti Song (960-1279). Namun jumlah nama tempat asing yang tercatat dalam Dao Yi Zhi Lue tersebut hanya 1/3 daripada yang ada pada Peta Pelayaran Cheng Ho.

Perniagaan

Menurut catatan buku sejarah China, barang yang dibawa ke Samudera Barat oleh armada Cheng Ho termasuk kain sutera, sulaman, porselin, emas, perak, gangsa, alat besi untuk kegunaan sembahyang atau memasak, beras, kedelai, jeruk, kapur barus dan buku. Sehinggakan sebahagian genting istana negeri asing pun merupakan barangan yang dibawa oleh Cheng Ho.

Barangan yang dibawa pulang oleh armada Cheng Ho ke China termasuk mutiara, kristal, intan, gading, singa, zirafah, macan tutul, rempah ratus seperti cengkih, kemenyan, cula badak, tanduk antelope (sejenis kijang di Afrika), wangi-wangian, pelbagai jenis kain dan kayu.

Barang-barang tersebut sebahagiannya merupakan cenderamata yang diberikan oleh pemerintah dan sebahagian lagi adalah hasil perniagaan atau diperoleh melalui pertukaran barang.

Dalam perniagaan China-Malaysia, tembikar dapat dijadikan suatu contoh yang menarik.

Di Muzium Negara Kuala Lumpur telah dipamerkan banyak alat porselin Dinasti Ming seperti piring, mangkuk, cangkir, teko, kendi, dulang, pedupaan dan guci. Ada yang bertuliskan ayat-ayat Al-Quran atau kalimah syahadat dalam tulisan Arab.

Sebahagian porselin Dinasti Ming itu kemungkinan dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu oleh rombongan Cheng Ho, kerana dalam buku China masa itu ada dicatatkan bahawa porselin dibawa sebagai cenderamata atau barang jualan dalam pelayaran-pelayaran ke Samudera Barat, termasuk ke Semenanjung Tanah Melayu.

Namun peningkatan mutu porselin Jingdezhen yang terkenal itu adalah hasil campuran sejenis bahan porselin yang dikenali sebagai "boqing" yang dibawa ke China oleh Cheng Ho dari bahagian utara pulau Borneo, iaitu Kalimantan, termasuk kawasan Sarawak dan Sabah kini. Bahan itu sangat penting untuk membuat porselin putih di Jingdezhen. Dengan kata lain, rakyat Malaysia telah membantu China meningkatkan mutu porselinnya.

Di samping itu, pada zaman Dinasti Ming terdapat banyak rempah ratus yang dibawa dari Melaka, Johor dan Pahang ke China. Rempah ratus dari Semenanjung Tanah Melayu tersebut telah memperkaya pasar rempah ratus di China dan sangat bermanfaat bagi kesihatan rakyat China. Bahan-bahan itu juga diperoleh daripada pelayaran Cheng Ho ke Semenanjung Tanah Melayu.

Soalan:

1. Benarkah pelayaran Cheng Ho lebih awal daripada pelayaran Christopher Colombus?

2. Dari mana Cheng Ho memperoleh "boqing", sejenis bahan untuk membuat porselin putih di Jingdezhen China?