Semenjak kerajaan China melaksanakan strategi pembangunan bahagian barat pada tahun 2000, ekonomi di kawasan bahagian barat China berkembang dengan cepat. Provinsi Shaanxi terletak di bahagian barat China, merupakan sebuah provinsi pertanian yang besar, tanah pertaniannya seluas lebih 4.8 juta hektar, menempati kira-kira 4% jumlah keseluruhan keluasan tanah pertanian di China. Dalam jangka masa panjang yang lalu, provinsi itu tidak mempraktikan teknologi tinggi dan keefisienan ekonominya rendah. Untuk mendorong perkembangan pertanian, kerajaan provinsi itu menggunakan keistimewaan faktor geografinya, membangunkan tanaman seperti epal, sayur-sayuran dan bunga. Selain itu, kerajaan China juga menubuhkan kawasan contoh industri teknologi tinggi pertanian di kawasan Yangling bahagian tengah Provinsi Shaanxi pada tahun 1988.
Melalui pembangunan selama lebih 7 tahun, kawasan Yangling telah dibangunkan dari sebuah pekan yang mundur menjadi sebuah kawasan industri pertanian moden dengan perolehan nilai pengeluaran melebihi 1.1 bilion yuan Renminbi, terutamanya melibatkan industri pembiakan baka tumbuh-tumbuhan yang bermutu baik dan sektor penternakan, pengeluaran dan pemprosesan hasil pertanian hijau dan lain-lain.
Naib Ketua Majlis Pentadbiran Kawasan Contoh Yangling puan Chen Jun berkata kepada wartawan: "Pakar pertanian kami mempopularkan penggunaan racun serangga, baja kimia dan benih yang berkualiti baik, supaya jumlah pengeluaran tanaman dapat bertambah dengan banyak.
Pihak Pengurusan Kawasan Contoh Yangling juga menubuhkan syarikat khidmat nasihat teknologi pertanian untuk menyediakan perkhidmatan kepada kaum petani dalam bidang pengeluaran, penjualan dan teknologi. Selain itu, mereka turut menghantar kumpulan pakar mempopularkan teknologi pertanian kepada kaum petani.
Dimaklumkan, semenjak kawasan contoh itu ditubuhkan, mereka telah mempraktikan penggunaan lebih 600 jenis teknik dan mengadakan kursus pertanian kepada lebih 3 juta orang petani. Perolehan keuntungan yang dicapai oleh para petani itu berjumlah 10 bilion Yuan Renminbi selepas menggunakan teknologi maju.
Kawasan bahagian barat China kaya dengan sumber alam. Provinsi Shaanxi paling banyak sumber bahan galian di bahagian barat China. Jumlah simpanan arang batu, gas asli dan minyak mentah di utara Provinsi Shaanxi dianggarkan paling banyak di China. Industri sumber tenaga merupakan industri utama yang dikembangkan di provinsi itu. Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Provinsi Shaanxi Encik Li Xiaodong semasa diwawancara berkata, pada masa depan, Provinsi Shaanxi akan memperuntukan 200 bilion yuan Renminbi untuk membangunkan industri kimia sumber tenaga.
Beliau berkata: "Kawasan di utara provinsi Shanxi kaya dengan sumber tenaga, khususnya arang batu sangat banyak. Kami bukan saja mencari gali arang batu, tetapi juga harus menggunakan sumber tenaga tersebut untuk menambah pendapatan penduduk tempatan. Oleh itu, kami menggunakan sumber tenaga membangunkan industri kimia".
Berbanding dengan kawasan yang lain di bahagian barat China, Provinsi Shanxi mempunyai kelebihan dalam bidang kemudahan infrastruktur, pendidikan, sains dan teknologi dan paling banyak pusat kajian tinggi dan institusi pengajian sains di bahagian barat China. Kesemuanya ini telah menyediakan asas bagi membangunkan industri teknologi tinggi di provinsi itu. Pada beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa puluh kawasan pembangunan industri teknologi tinggi dan zon sains dan teknologi. Antaranya, yang paling menarik perhatian umum ialah Kawasan Pembangunan Industri Teknologi Tinggi Xian ibu kota Provinsi Shaanxi.
Kawasan Pembangunan Industri Teknologi Tinggi Xian di tubuhkan pada tahun 1990. Melalui pembangunan dalam jangka masa panjang, kawasan itu mempunyai beberapa industri utama seperti maklumat elektronik, perisian dan ubat-ubatan. Lebih 6000 buah perusahaan dibina di sana dan 500 Syarikat yang terkenal di dunia seperti Fujitsu, Intel dan Infineon juga menubuhkan pusat kajian dan penerokaan atau membuka perusahaan di sana.
Syarikat Saham Sains dan Teknologi Telekom Datang Berhad merupakan salah sebuah Syarikat Pengeluar kemudahan telekomunikasi yang terbesar di China.
Pengurus Syarikat itu Encik Wu Jie berkata: " Di Xian terdapat banyak pusat kajian tinggi dan sumber tenaga profesional, dan juga merupakan pangkalan utama pengkajian telekomunikasi Kementerian Industri Teknologi Maklumat dan Telekom. Ini boleh memberi sokongan teknologi kepada perkembangan syarikat kami".
Selain itu, sejak Kawasan Penerokaan teknologi tinggi Xian ditubuhkan, telah dibangunkan pusat menyediakan perkhidmatan untuk membantu dan menyokong usaha lebih 700 buah perusahaan sains dan teknologi kecil dan sederhana dalam pelbagai bidang seperti kemudahan pejabat, memberi khidmat nasihat pengurusan, menarik pelaburan dan lain-lain, supaya perusahaan tersebut menjadi perusahaan yang berjaya menarik pelabur tempatan dan luar negara.
Dimaklumkan, pada 5 tahun yang lalu, kerajaan Provinsi Shaanxi mengambil peluang yang baik, dengan aktif menggunakan sumber tenaga tempatan membangunkan ekonomi, oleh itu, kadar pertumbuhan ekonominya dikekalkan pada kadar lebih 8% dan jumlah keseluruhan ekonomi provinsi itu pada tahun 2004 mencatat 290 bilion yuan Renminbi.
---- Wang Ling
|