Menurut berita CRI, Sidang Menteri Ekonomi ASEAN ke-37 akan dirasmikan di Vientiane, Laos besok menurut jadual. Dalam sidang selama 3 hari itu, mempercepat integrasi ekonomi ASEAN dan meningkatkan kerjasama ekonomi serantau merupakan fokus pelbagai pihak.
Kira-kira 400 orang wakil daripada 10 negara anggota ASEAN, negara rakan dialog termasuk China serta institusi yang berkaitan akan menghadiri sidang itu. Topik sidang itu ialah keadaan pelaksanaan "Program Tindakan Vientiane" yang diluluskan pada penghujung tahun lalu. Pelbagai negara anggota ASEAN akan mendorong pelaksanaan pelbagai rancangan kerjasama yang termasuk rancangan kerjasama yang konkrit untuk merapatkan jurang perbezaan pembangunan antara pelbagai negara anggota ASEAN, berusaha mempercepat proses integrasi ekonomi, dan meletakkan asas ekonomi yang kukuh agar ASEAN dapat dibangunkan menjadi pertubuhan yang terbuka dan penuh dinamik menjelang tahun 2020. Selain itu, pihak ASEAN juga akan meningkatkan kerjasama dengan negara rakan dialog, terus memperbaiki hubungan ekonomi dengan rakan perdagangan antaranya China, Jepun, Republik Korea, India, Australia dan New Zealand, dan mempererat hubungan perdagangan dengan negara berkenaan.
Sebagai rakan kerjasama strategik ASEAN dan negara pertama menyertai "Perjanjian Kerjasama Persahabatan Asia Tenggara", China sangat mementingkan sidang tersebut. Dalam Sidang Persiapan Menteri ASEAN yang diadakan sebelum ini, delegasi pelbagai negara telah mengadakan perbincangan tentang topik dan agenda sidang tersebut.
Dimaklumkan, untuk terus mendorong kerjasama perdagangan dua hala, dalam tempoh sidang tersebut, Sidang Menteri ASEAN-China (10+1) yang akan diadakan itu membincangkan masalah tentang keadaan pelaksanaan "Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN", persiapan Ekspo China-ASEAN, serta cara kerjasama China dengan kawasan pembangunan di timur ASEAN dan lain-lain. Selain itu, dalam Sidang Menteri Ekonomi ASEAN-China, Jepun dan Republik Korea (10+3), pelbagai pihak juga akan bertukar-tukar pendapat tentang banyak program-program kerjasama ekonomi serantau.
|