|
Pegawai Kumpulan AG dan kumpulan TIMAH yang merupakan perusahan gergasi dalam bidang perlombongan logam di Indonesia telah mengadakan lawatan ke perusahaan Huaxi di Wilayah Autonomi Entik Zhuang Guangxi China selepas mereka menyertai ekspo menarik pelaburan yang diadakan di Beijing baru-baru ini. Lawatan itu telah mencapai kejayaan apabila perusahaan kedua-dua negara tersebut menandatangai dua dokumen kerjasama antara Kumpulan Timah dengan Kumpulan Huaxi dan antara Kumpulan AG dengan kumpulan Huaxi untuk menjalankan penerokaan bersama melombong di sebuah pulau di timur Indonesia dan memproses logam indium di Guangxi China, kerjasama itu akan dijalankan dengan penyediaan teknologi dan tenaga profesional daripada pihak China dan modal daripada pihak Indonesia.
Pemimpin ketiga-tiga perusahaan dalam perbincangan itu meluahkan hasrat untuk menjalankan kerjasama dalam bidang penerokaan dan pemprosesan logam.
Berdasarkan jangkaan pakar geologi dunia bahawa pulau-pulau Indonesia kaya dengan bahan galian, antaranya termasuk pelbagai jenis logam. Pengurus jabatan penerokaan sumber tenaga Kumpulan AG Indonesia, Encik Huang Wenshang yang turut melawat kumpulan Huaxi, Guangxi memaklumkan bahawa mereka telah mengesan sebuah lombong logam yang kadar simpanan bahan galiannya amat tinggi di sebuah pulau tandus di kawasa timur Indonesia. Kumpulan AG merupakan sebuah perusahaan pelaburan transnasional yang modalnya melebihi 10 bilion Dolar Amerika dan menumpukan tumpuan terhadap penerokaan bahan galian yang berpotensi amat besar di Indonesia. Di samping itu, Kumpulan TIMAH merupakan sebuah perusahaan logam milik negara yang besar di Indonesia, mereka berharap bekerjasama dan meningkatkan pertukaran kepakaran dengan perusahaan China.
Kumpulan Huaxi merupakan salah satu perusahaan industri logam mulia yang terbesar di Guangxi China. Modal perusahaan tersebut mencapai 4.5 bilion Yuan Renminbi dan jumlah nilai pengeluarannya lebih 2 bilion Yuan Renminbi setahun. Teknologi maju Kumpulan Huaxi dalam bidang penerokaan, cari gali dan peleburan logam merupakan faktor utama yang menarik kedua-dua perusahaan Indonesia itu untuk mengadakan kerjasama. Pelaksanaan kerjasama itu akan membuka saluran baru untuk menjalankan penerokaan bersama terhadap sumber bahan galian logam di kedua-dua negara. Di samping itu, kerjasama itu juga akan mendorong langkah pembaharuan sistem pengurusan Kumpulan Huaxi yang sedang dijalankan dan berfaedah bagi perkembangan industri pemprosesan logam di Guangxi, China.
|