Wartawan CRI melaporkan, beberapa kejadian letupan berlaku di Bali, Indonesia semalam. Hospital dan polis tempatan hari ini mengesahkan bahawa seramai 36 orang mati dalam kejadian letupan tersebut dan lebih 100 orang lain cedera.
Pada malam semalam, sekurang-kurangnya tiga kejadian letupan berlaku di Bali. Oleh sebab letupan itu berlaku di tempat awam yang dipenuhi pelancong, ia telah menyebabkan kematian dan kecederaan serius.
Setelah kejadian itu berlaku, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan, kejadian itu merupakan "tindakan keganasan". Pegawai kanan bahagian antikeganasan Kementerian Keselamatan Negara Indonesia hari ini berkata, letupan itu dilakukan oleh tiga orang penyerang berani mati. Setakat ini, tiada pertubuhan atau perseorangan mengumumkan bertanggungjawab atas kejadian itu.
Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan terkejut Bali sekali lagi menjadi sasaran serangan keganasan. Beliau menggesa kerajaan Indonesia membongkarkan kes itu secepat mungkin.
Perdana Menteri Britain, Tony Blair mengutus kawat kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, mengutuk tindakan serangan tersebut. Beliau menyatakan, Britain akan bersama-sama Indonesia memerangi keganasan dan sedaya upaya memberi bantuan kepada Indonesia.
Setiausaha Negara A.S., Condoleezza Rice mengeluarkan kenyataan bahawa A.S. akan bekerjasama dengan Indonesia membanteras keganasan.
|