10 Oktober tahun ini merupakan Hari Kesihatan Mental Sedunia ke-14. Pada hari itu, ramai pakar pelbagai badan kesihatan di bandar telah memberi perkhidmatan kauseling kesihatan mental kepada para penduduk di bandar, sedangkan kawasan desa dan kaum petani telah diabaikan. Sebenarnya masalah kesihatan mental mereka seharusnya diberi lebih banyak perhatian oleh seluruh masyarakat.
Kini kebanyakan rawatan pesakit mental tertumpu di bandar sahaja. Tetapi kaum petani di desa bukan sahaja kekurangan pengetahuan tentang kesihatan mental, bahkan juga tidak terdapat pusat rawatan pesakit mental di tempat itu.
Justeru itu, para pesakit mental di desa tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Mereka sedang menghadapi pelbagai masalah seperti masalah mental dan kewangan, kemiskinan, hubungan kurang harmoni dengan jiran dan menganggur. Hal itu telah menjejaskan usaha pembangunan masyarakat harmoni.
Berdasarkan statistik, kini jumlah pesakit mental di China telah mencapai kira-kira 16 juta orang. Selain itu terdapat juga 6 juta orang pesakit sawan. Manakala nisbah pakar psikologi berbanding pesakit mental hanya mencatat 1:20000 dan kebanyakannya tertumpu di bandar sahaja.
Semasa menegaskan pentingnya kesihatan mental dan fizikal mereka yang menghadapi tekanan perasaan di bandar, kesihatan mental dan fizikal kaum petani di desa juga hendaklah diberi lebih banyak perhatian yang sewajarnya daripada seluruh masyarakat. Pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah tersebut. Antara langkah yang penting ialah menghantar lebih banyak pakar kesihatan mental ke kawasan desa atau melatih pegawai perubatan di tempat itu serta menubuhkan pelbagai badan rawatan atau pusat kauseling di sana. Selain itu, penerangan kesihatan mental juga harus kerap dilaksanakan di kawasan desa agar meningkatkan pengetahuan kaum petani di desa tentang kesihatan mental.
|