Menurut Agensi Berita China, persiapan Ekspo China-ASEAN ke-2 telah bermula pada 10 Oktober tahun ini. Di Pusat Pameran Antarabangsa Nanning, bendera kebangsaan China dan negara-negara ASEAN dilekat di atas pintu pusat pameran itu. Dimaklumkan persiapan itu akan selesai pada 18 Oktober.
Dalam tempoh Ekspo China-ASEAN kali ini, ramai pedagang dalam dan luar negara akan berkumpul di bandar Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi. Pemimpin-pemimpin China dan sepuluh negara ASEAN juga akan menghadiri ekspo itu. Sehubungan dengan itu, ramai sukarelawan telah dipilih. Pada 9 Oktober lalu, seramai lebih 1,700 orang sukarelawan dipilih daripada pelbagai universiti telah berikrar untuk menyediakan khidmat kepada ekspo itu. Para sukarelawan bukan sahaja mewakili imej bandar Nanning dan Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi, bahkan juga mewakili imej China, maka mereka akan berkhidmat dengan baik agar menunjukkan semangat belia Guangxi kepada rakyat ASEAN dan dunia.
Untuk menyambut baik tetamu-tetamu dari dalam dan luar negara, pelbagai jalan di bandar Nanning dihias semula. Bendera yang berwarna-warni berkibar-kibar di udara di jalan utama bandar itu. Di tepi kedua-dua belah jalan itu terdapat juga slogan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris untuk menyambut para tetamu.
Selain daripada itu, kerajaan Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi telah meningkatkan taraf perkhidmatannya, menyediakan kemudahan kepada para pedagang negara ASEAN menyertai ekspo itu. Perkhidmatan penerbangan carter langsung untuk sementara telah dilaksanakan antara Nanning dengan pelbagai bandar utama ASEAN. Taraf perkhidmatan dalam bidang penginapan di hotel Nanning meningkat dengan ketara. Bank China telah menempatkan sebanyak 19 buah pusat pertukaran mata wang asing di hotel berbintang tiga ke atas. Dalam bilik tetamu Muslim juga disediakan tanda arah bersolat. Dimaklumkan juga, pasukan polis tentera bandar Nanning telah menjalankan latihan bagi meningkatkan keupayaan mereka mempertahankan keselamatan dalam tempoh ekspo kali ini. Di samping itu, pasukan polis peronda wanita pertama bandar Nanning telah mendapat sijil latihan bahasa Inggeris Kumpulan Pendidikan Antarabangsa EF pada 9 Oktober lalu dan mereka akan berkhidmat untuk para tetamu asing dalam bahasa Inggeris.
|