Mengenai Siaran B. Melayu Mengenai CRIHubungi Kami
Klik sini ke Galeri Foto...
China Radio International
Berita China
Berita Dunia
Inovasi
Masyarakat
Horizon
Arena Ekonomi
Sukan
China-ASEAN
(GMT+08:00) 2005-10-17 15:23:00    
Kerajaan Bandar Nanning China Sediakan Perkhidmatan Lebih Sempurna untuk Menjayakan Ekspo China-ASEAN

CRI

Pusat Bantuan Kecemasan Bersepadu Bandar Nanning di bandar Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi China sangat terkenal kerana menyediakan perkhidmatan kecemasan bukan sahaja kepada penduduk tempatan, tetapi juga pelancong dan pedagang di tempat lain di China bahkan warga asing.

Terdapat skrin besar di ruang legar Pusat Bantuan Kecemasan Bersepadu yang terletak di tingkat lima sebuah bangunan. Gambar kenderaan di jalan-jalan utama bandar Nanning terpapar pada skrin tersebut. Di sebelah kiri ruang legar itu, seramai hampir 10 operator sedang bertugas di depan komputer. Pegawai Pusat Bantuan Kecemasan Bandar Nanning encik Shi Jufu menyatakan,

"Ruang legar Pusat itu terbahagi kepada dua bahagian, operator di sebelah kiri menerima panggilan bantuan kecemasan, antaranya kes jenayah, bantuan perubatan, kemalangan kenderaan dan kebakaran. Kemudian, operator tersebut memberi maklumat kepada pegawai di sebelah kanan dengan menggunakan komputer agar mereka mengaturkan usaha bantuan di seluruh bandar."

Bantuan kecemasan bersepadu itu bermakna kerajaan tempatan mengarahkan pelbagai jabatan berkaitan memberi perkhidmatan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Pada tahun 1998, kerajaan China mengemukakan cadangan pembentukan sistem bantuan awam yang lengkap di seluruh negara. Kerja percubaan telah dilaksanakan terlebih dahulu di bandar Nanning dengan peruntukan 160 juta Yuan RMB. Sistem bantuan kecemasan akhirnya berjaya dibentuk di bandar itu pada bulan November 2001 dan perkhidmatan bantuan diberikan secara rasmi kepada penduduk tempatan pada 1 Mei 2002.

Menurut maklumat encik Shi Jufu, sebelum sistem bantuan kecemasa bersepadu di bandar Nanning ditubuhkan, panggilan telefon untuk mendapatkan bantuan kecemasan yang diterima oleh jabatan kerajaan tidak mencapai 1000 kali setiap hari. Akan tetapi, setelah sistem itu beroperasi, sebanyak lebih 5700 panggilan telefon diterima oleh Pusat Bantuan Kecemasan Bersepadu setiap hari. Setakat 20 Julai 2005, pelbagai bantuan yang disediakan oleh pegawai pusat itu berjumlah lebih 520 ribu.

Encik Shi Jufu menyatakan, disebabkan maklumat dapat dikongsi menggunakan sistem bantuan kecemasan bersepadu, kemudahan dan cara arahan segera telah digunakan, taraf pengurusan keselamatan bandar Nanning meningkat dengan ketara. Pelaksanaan sistem baru itu juga menjamin keselamatan pelbagai aktiviti yang diadakan di bandar Nanning, antaranya Ekspo China-ASEAN pertama yang diadakan pada tahun lalu. Beliau menyatakan,

"Pemimpin negara dan seramai 166 menteri China dan negara-negara ASEAN telah menghadir Ekspo itu pada tahun lalu. Kami beroperasi menggunakan sistem bantuan kecemasan itu dan mencapai kejayaan. Pada tahun ini, kami akan terus meningkatkan pembangunan sistem tersebut untuk menjayakan Ekspo China-ASEAN kedua yang diadakan pada tahun ini dan menjamin keselamatan di seluruh bandar Nanning."

Menurut maklumat, untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih sempurna kepada warga asing di bandar Nanning, perkhidmatan "Laporan Bantuan Kecemasan Bahasa Asing" telah disediakan. Selain itu, bahagian perkhidmatan pedagang telah dibentuk untuk menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan Ekspo China-ASEAN.

Pengurus Bahagian Perkhidmatan Pedagang Pusat Bantuan Kecemasan Bersepadu cik He Xiaoming memberitahu wartawan, semasa penyelenggaraan Ekspo China-ASEAN pertama pada bulan Oktober tahun lalu, ramai sukarelawan muda yang boleh bertutur bahasa asing pelbagai negara Asia Tenggara telah diterima bertugas, beberapa pakar telah diundang untuk menjawab panggilan telefon pedagang 10 negara ASEAN. Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Muhammad juga pernah mengemukakan pertanyaan menerusi talian telefon tersebut.

Menurut Cik He, Bahagian Perkhidmatan Pedagang Pusat Bantuan Kecemasan Bersepadu akan menyediakan perkhidmatan yang lebih sempurna untuk menjayakan Ekspo China-ASEAN kedua yang akan diadakan pada tahun ini. Beliau menyatakan,

"Kami akan membuat persiapan lebih awal pada tahun ini. Selain mengambil pekerja, kami juga akan menyediakan latihan kepada mereka. Kami akan meningkatkan kualiti para sukarelawan agar mereka menyediakan perkhidmatan yang sempurna kepada para pedagang dalam dan luar negara."