Ekspo China-ASEAN kedua dirasmikan di bandar Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Etnik Zhuang Guangxi China hari ini. Ekspo itu dilancarkan seiring dengan pelaksanaan secara menyeluruh Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Pegawai China dalam upacara perasmian Ekspo itu menyatakan, China bersedia berusaha bersama-sama dengan pelbagai pihak ASEAN menjayakan Ekspo kali ini; pegawai pelbagai negara anggota ASEAN juga menyatakan optimis terhadap prospek perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN.
Ekspo China-ASEAN dicadangkan oleh Perdana Menteri China Wen Jiabao dalam Sidang Pemimpin China-ASEAN (10+1) ketujuh yang diadakan pada tahun 2003, cadangan itu mendapat sambutan pelbagai negara ASEAN. Ekspo itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Ekonomi dan Perdagangan China dan 10 negara ASEAN untuk mendorong pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN agar pelbagai negara berkaitan bekerjasama untuk berkembang bersama. Ekspo China-ASEAN pertama diadakan di bandar Nanning pada tahun lalu dan mencapai kejayaan. Sebanyak lebih 2000 perusahaan menyertai ekspo kali ini,meningkat lebih 500 berbanding tahun lalu. Kebanyakan barangan pameran berkaitan mesin, peralatan elektronik, bahan binaan, hasil pertanian dan bahan makanan yang jumlah perdagangannya amat besar antara China dengan negara-negara ASEAN.
Menteri Perdagangan China Bo Xilai dalam upacara perasmian itu menyatakan, "Pedagang China dan pelbagai negara ASEAN bertemu di bandar Nanning membuktikan ketulusikhlasan kerjasama dan jiran baik kita. China bersedia berusaha bersama-sama dengan jabatan ekonomi dan perdagangan pelbagai negara ASEAN dan Pejabat Setiausaha ASEAN menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pedagang pelbagai negara untuk mendapat keuntungan bersama."
Sejak China dan ASEAN menandatangani "Perjanjian Rangka Kerjasama Ekonomi secara Menyeluruh" dan melaksanakan secara rasmi pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN terus meningkat. Pada tahun 2004, jumlah perdagangan dua hala pertama kali melebihi 100 bilion Dolar Amerika. Berdasarkan perjanjian, kedua-dua pihak mula melaksanakan rancangan mengurangkan tarif di Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN pada bulan Julai tahun ini. Kedua-dua pihak mengurangkan tarif terhadap lebih 7000 jenis barangan keluaran, ini juga menandakan pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN dilaksanakan secara menyeluruh. Berdasarkan statistik, jumlah perdagangan dua hala China-ASEAN mencapai lebih 94 bilion Dolar Amerika pada bulan Januari hingga September tahun ini, meningkat 20% berbanding tahun lalu dalam tempoh yang sama. China dan ASEAN telah menjadi rakan dagang penting keempat antara satu sama lain.
Ketua Setiausaha ASEAN Ong Keng-yong menyatakan, seiring dengan pembangunan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan China-ASEAN amat cerah.
Beliau menyatakan, "Dalam iklim perdagangan yang lebih terbuka, pedagang hasil pertanian, usahawan, pedagang import, eksport dan dewan perdagangan pelbagai negara ASEAN berpeluang lebih banyak untuk menyelenggarakan perusahaan mereka. Ekspo China-ASEAN menyediakan peluang perdagangan lebih banyak kepada mereka kerana Ekspo itu telah menjadi platform perdagangan ASEAN-China."
|