|
Menurut Agensi Berita Xinhua China, demonstrasi kawalan keselamatan nuklear China-A.S. dan teknologi jaminan keselamatan nuklear antarabangsa anjuran Agensi Tenaga Atom Negara China, Jabatan Sumber Tenaga A.S. dan Institut Pengajian Tenaga Atom China yang akan berlangsung selama 5 hari telah dirasmikan di Beijing semalam. Demonstrasi tersebut merupakan aktiviti penting yang diadakan dalam rangka Perjanjian Kerjasama Teknologi Nuklear China-A.S. (PUNT). Sehubungan dengan itu, kerjasama China-A.S. dalam bidang kawalan keselamatan nuklear telah meningkat dengan ketara.
Dimaklumkan, dalam demonstrasi itu akan dipamerkan kelengkapan dan teknologi canggih bagi mengawal keselamatan bahan dan kemudahan nuklear dan juga akan diadakan siri seminar. Pegawai kerajaan dan anggota teknikal kedua-dua negara akan bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dalam bidang dasar dan peraturan, teknologi, kelengkapan dan konsep baru bagi mengawal senjata, keselamatan bahan dan kemudahan nuklear.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Negara China Sun Qin menyatakan bahawa tujuan utama mengawal senjata nuklear dan meningkatkan tahap kawalan keselamatan nuklear adalah untuk mempertahankan perdamaian dan keselamatan antarabangsa serta mendorong pembangunan sosioekonomi yang berterusan. China menentang penambahan senjata nuklear dengan apa jua cara dan membanteras kegiatan mencuri, memindahkan secara haram atau merosakkan bahan dan kemudahan nuklear. China menyokong sepenuhnya usaha masyarakat antarabangsa bagi mengintensifkan tahap kawalan keselamatan nuklear antarabangsa dan menentang kegiatan keganasan nuklear. Kerajaan China telah mengeluarkan pelbagai peraturan untuk menstandardkan usaha pengawalan bahan dan kemudahan nuklear China di sisi undang-undang.
Selain itu, demonstrasi itu menunjukkan bahawa Institut Pengajian Tenaga Atom China mempunyai kemampuan untuk menjalankan latihan dalam bidang usaha pengawalan bahan dan kemudahan nuklear. China juga berancang bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), menjadikan Institut Pengajian Tenaga Atom China sebagai pusat latihan rantau Asia-Pasifik dan menjalankan latihan untuk negara-negara di rantau Asia-Pasifik bagi meningkatkan kemampuan negara-negara di rantau itu mencegah dan mengawal keganasan nuklear.
|