|
Menurut Agensi Berita Xinhua China, sistem kawalan lalu lintas udara automatik di Beijing, Shanghai dan Guangzhou telah siap dibina dan mulai beroperasi. Ia merupakan projek kawalan lalu lintas udara terbesar yang dibina dalam sektor penerbangan awam China.
Ketua Pengarah Biro Kawalan Lalu Lintas Udara Jabatan Pentadbiran Am Penerbangan Awam China Su Lan'gen menjelaskan bahawa jumlah pelaburan projek tersebut melebihi 2 bilion yuan RMB dan ia merupakan projek utama dalam sektor penerbangan awam dalam tempoh Rancangan Lima Tahun Ke-10 China.
Di pusat kawalan lalu lintas udara kawasan Guangzhou, wartawan menyaksikan pengawal lalu lintas udara itu dapat menguasai keadaan penerbangan di udara dengan segera melalui skrin besar dan sistem operasi itu boleh mengawal keadaan penerbangan sebanyak 1500 buah pesawat dengan serentak. Sistem kawalan itu juga dapat meramal risiko penerbangan yang mungkin berlaku, menyusun semula laluan dan waktu selang setiap penerbangan, memberi isyarat amaran kepada penerbangan yang melanggar peraturan penerbangan dan menyediakan data radar dan maklumat berkaitan penerbangan. Selain itu, pengawal lalu lintas udara itu juga dapat menjalankan komunikasi dan saling menyampaikan maklumat antara juruterbang secara langsung.
Naib Menteri Jabatan Pentadbiran Am Penerbangan Awam China Wang Changshun berkata, jumlah pengangkutan penerbangan awam China telah menduduki tempat ke-3 di dunia pada tahun lepas. Pada tahun itu, sebanyak 7.1 juta kali penerbangan telah dijalankan, antaranya 70% penerbangan itu dikawal oleh pusat kawalan lalu lintas udara di Beijing, Shanghai dan Guangzhou. Penerbangan di ketiga-tiga kawasan udara tersebut semakin sesak dan risiko keselamatan penerbangan meningkat. Demi menyelesaikan masalah itu, ketiga-tiga pusat kawalan lalu lintas udara automatik tersebut telah dibina.
Su Lan'gen pula menyatakan bahawa dengan menggunakan kelengkapan yang dikaji dan dihasilkan oleh China sendiri, teknologi ketiga-tiga pusat kawalan lalu lintas udara itu telah mencapai taraf tinggi di peringkat antarabangsa, dan ini menyediakan asas untuk kemajuan yang lebih besar dalam usaha kawalan lalu lintas penerbangan awam China.
|